Isu Kampung Sungai Baru, diam sebab malas cakap benda bodoh - Johari

Johari.
Johari.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyelar dakwaan beberapa pihak yang menuduh beliau berdiam diri dan kurang bersuara berhubung isu Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu menjelaskan beliau ingin menyuarakan isu tersebut bersandarkan maklumat fakta yang jelas dan mengemukakan langkah penyelesaian sewajarnya bagi penduduk kawasan berkenaan.

“Saya memang tidak kerap pergi bercakap benda-benda bodoh (tanpa fakta yang jelas) ini. Kalau bercakap benda bodoh, saya malas bercakap.

“Saya hendak bercerita perkara yang ada fakta dan penyelesaian. Saya tidak ke depan selepas November 2022 (menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)) sebab saya sedang mengumpul fakta.

“Hendak dapat dan kumpulkan dokumen-dokumen berkaitan isu ini bukan mudah. Perlu melibatkan urusan peguam dan mencari fail di mahkamah, mereka (penduduk) semua tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah audio siar milik media tempatan secara langsung pada Ahad.

Projek pembangunan di Kampung Sungai Baru melibatkan 382 unit membabitkan 64 lot teres dan 264 unit flat.

Sebelum ini media melaporkan polemik timbul susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.

Artikel Berkaitan:

Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Ujar Johari, sebagai ahli Parlimen kawasan berkenaan, beliau ingin memastikan semua penduduk mendapat unit rumah setimpal dengan kualiti dan nilai pasaran yang dijanjikan.

Menurutnya, pelbagai strategi dan pilihan yang telah dikaji olehnya bagi memberikan penyelesaian terbaik untuk penduduk.

“Hari ini saya sudah sampai satu peringkat di mana sudah dapat maklumat dan fakta cukup untuk bercakap pada umum.

“Pada mulanya saya ingin membuat sidang media, tetapi saya putuskan untuk lakukan menerusi program ini supaya pihak pemaju, Jabatan Wilayah Persekutuan, peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain boleh dengar apa saya cakap.

“Selepas saya cakap, jika mahu penjelasan lebih lanjut saya boleh berikan kepada mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!