Isu Kampung Sungai Baru: Dakwaan bukan tanah rizab Melayu salah fakta, perundangan - Peguam

Surendran
Surendran
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengatakan tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur bukan tanah rizab Melayu ialah salah daripada segi fakta dan perundangan.

Peguam Lawyers for Liberty (LFL) dan Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, N Surendran berkata, keseluruhan 220 hektar tanah di Kampung Baru, termasuk Kampung Sungai Baru sebagai sebahagiannya telah diisytiharkan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS) melalui Warta No 1550 bertarikh 16 Februari 1932.

“Saya merujuk kenyataan beliau pada 27 April 2025 mengenai kontroversi pengambilan dan pembangunan tanah Kampung Sungai Baru. Beliau mendakwa tanah itu adalah tanah pajakan serta bukan tanah rizab Melayu, serta terpulang kepada penduduk untuk berunding dengan pemaju bagi membolehkan agensi kerajaan mengambil alih projek itu.

“Sempadan tanah yang disebut dalam warta jelas termasuk Kampung Sungai Baru, seperti mana dilihat dalam peta diperakui kerajaan, maka tidak dapat dinafikan ia merupakan tanah rizab Melayu.

“Maklumat ini penting dalam memahami dan menyelesaikan pertikaian sekarang, tetapi nampaknya Johari sama ada tidak menyedari atau langsung tidak memahaminya,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Perladangan dan Komoditi itu mencadangkan supaya penduduk berbincang dengan pihak pemaju bagi menyerahkan projek pembangunan di Kampung Sungai Baru kepada syarikat yang lebih dipercayai mereka.

Jelasnya, saranan itu bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap usaha pembangunan tersebut, sekali gus mempercepatkan urusan projek berkenaan.

Polemik timbul susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan diperoleh.

Terdahulu, pada Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Surendran berkata, status tanah rizab Melayu di bawah undang-undang tidak pernah ditarik balik oleh kerajaan, maka ia kekal sebagai tanah rizab.

“Ini jelas dalam Seksyen 4(1) Akta Enakmen Rizab Melayu yang memperuntukkan bahawa kerajaan negeri atau persekutuan mesti secara jelas membatalkan status rizab Melayu. Jika tidak, tanah tersebut akan kekal sebagai status tanah rizab.

“Ini bermakna status tanah sebagai hak milik pajakan atau ‘leasehold’ untuk tempoh 99 tahun yang dinyatakan dalam geran tanah dikeluarkan adalah tidak betul. Ia tidak pernah berstatus 'leasehold'.

“Tanggungjawab terhadap kesalahan mengejutkan ini terletak pada kerajaan yang mengeluarkan geran yang salah pada tahun 1970-an,” ujarnya.

Jelas beliau, disebabkan perkara itu, keseluruhan proses pengambilan tanah adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.

“Bagaimana mungkin ia sah dari segi undang-undang apabila pengambilan tanah oleh kerajaan adalah berdasarkan 'leasehold', sedangkan tanah itu sebenarnya tanah rizab pegangan bebas?

“Jika pengambilalihan itu menyalahi undang-undang, pembangunan yang sedang dilakukan kini juga berdepan masalah,” tegas beliau.

Tambah Surendran, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk terlibat sama menyelesaikan isu tersebut bersama pemaju.

“Penduduk mesti dibenarkan mengambil bahagian sepenuhnya dalam mana-mana pembangunan bagi memastikan ketelusan dan keadilan,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!