Masjid At-Taqwa TTDI nafi dakwaan diboikot, jemaah berbuka puasa cecah 1,000 orang sehari

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menafikan dakwaan kononnya masjid itu diboikot susulan satu hantaran tular di aplikasi Threads yang memaparkan suasana lengang ketika waktu berbuka puasa, Ahad lalu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, pihak masjid mengambil perhatian terhadap hantaran dimuat naik pengguna akaun drfirdaus_92 pada 22 Februari lalu jam 6.32 petang yang menunjukkan keadaan belum dipenuhi jemaah.
Beliau berkata, hakikatnya jemaah mula memenuhi ruang masjid bermula jam 7 malam dan seperti Ramadan tahun lalu, jumlah kehadiran bagi berbuka puasa tahun ini adalah antara 800 hingga 1,000 orang setiap hari.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Agil Faisal Ahmad Fadzil turut memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
Katanya, isu boikot tidak benar namun kemungkinan ada pengalaman kurang menyenangkan dalam kalangan jemaah yang datang ke masjid.
"Bab komen pengalaman kurang menyenangkan di masjid pula, tidak dinafikan mungkin ada.
"Ada yang melibatkan jemaah, ada juga cerita lama malah ada yang lebih 20 tahun dan kebanyakannya datang daripada jemaah muslimat.
"Semua maklum balas ini wajar diteliti dengan baik dan berhemah. Kenyataan rasmi pihak masjid akan dikeluarkan, insya-ALLAH," ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Dalam masa sama Agil Faisal turut mengucapkan selamat menunaikan ibadah di bulan Ramadan dan menjemput orang ramai datang iftar dan terawih di masjid tersebut.
"Sejak 1 Ramadan hingga semalam, setiap hari sekitar 1,000 orang berbuka puasa di masjid ini," ulasnya.
Ringkasan AI
- Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail menafikan diboikot susulan hantaran tular di Threads tentang suasana lengang waktu berbuka
- Pengerusi masjid menyatakan jemaah mula memenuhi masjid jam 7 malam dengan kehadiran 800 hingga 1,000 orang setiap hari
- Ramadan tahun ini, masjid mengalokasikan RM450,000 untuk berbuka puasa, moreh dan sahur
- Masjid menyediakan makanan berbuka puasa di Stesen MRT Taman Tun dan kepada ahli kariah uzur
- Masjid memberi perhatian kepada penglibatan belia dan kanak-kanak melalui pelbagai program dan kelas mengaji al-Quran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

