Kerajaan digesa campur tangan isu Kampung Sungai Baru, tawar pampasan lebih adil

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu Kampung Sungai Baru di sini dengan memberikan tawaran baharu yang lebih adil kepada penduduk.
Peguam Lawyers for Liberty (LFL) merangkap Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, N Surendran berkata, pengambilalihan tanah secara tidak sah memberikan asas kukuh kepada kerajaan untuk campur tangan dan berunding dengan pemaju bagi mendapatkan tawaran yang lebih baik.
“Kedua-dua kumpulan, iaitu mereka yang menandatangani perjanjian usaha sama (JV) dan mereka yang tanahnya diambil secara paksa dengan pampasan yang tidak mencukupi, telah menerima tawaran yang tidak adil.
“Sekiranya rundingan dengan pemaju tidak berjaya, kerajaan perlu meneruskan pembangunan melalui agensinya seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang merupakan pemegang hak milik induk bagi rumah hak milik strata sebelum dipindahkan kepada pemaju," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Surendran, sebarang proses pembangunan baharu perlu dijalankan secara telus dan melibatkan penduduk secara aktif.
“Mereka wajar diberikan rumah ganti yang lebih baik, termasuk kemudahan moden serta kondominium berkepadatan rendah,” katanya.
Untuk rekod, projek pembangunan di Kampung Sungai Baru melibatkan 382 unit, membabitkan 64 lot rumah teres dan 264 unit flat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa timbul polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal, yang terdiri daripada golongan minoriti, yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diterima.
Pada Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan di Parlimen bahawa usaha sama antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, dibuat berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa sebarang paksaan, tekanan atau desakan.
Mengulas lanjut, Surendran menegaskan bahawa kadar pampasan perlu dinaikkan dan tidak sepatutnya diberikan pada harga bawah pasaran, iaitu RM450 bagi setiap kaki persegi seperti yang ditawarkan kini.
“Pertimbangan penting ialah penduduk perlu diberikan kekuatan kewangan untuk terus menetap di Kampung Sungai Baru selepas pembangunan – sesuatu yang diharapkan oleh kebanyakan penduduk.
“Sebagai penyelesaian lain, kerajaan perlu mengiktiraf bahawa tanah di kawasan tersebut ialah Tanah Rizab Melayu yang dikenali sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS). Pengiktirafan sedemikian penting kerana status tanah akan menentukan kaedah yang boleh digunakan oleh kerajaan dalam mencapai penyelesaian,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu mengakui bahawa proses pengambilan tanah tersebut adalah terbatal dan menyalahi undang-undang kerana dilakukan semasa geran tanah secara salah menyatakan status sebagai pegangan pajakan selama 99 tahun.
“Sedangkan tanah itu sebenarnya merupakan pegangan bebas di bawah MAS. Mengikut undang-undang, kerajaan boleh mengambil milik Tanah Rizab Melayu, namun pengambilan tersebut menjadi tidak sah sekiranya status tanah dinyatakan secara salah dalam proses pengambilalihan.
“Di bawah Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan, pelucutan sebarang harta tidak boleh dilakukan kecuali mengikut undang-undang. Proses pengambilan milik di Kampung Sungai Baru tidak mengikut undang-undang kerana berdasarkan premis yang salah, iaitu tanah pegangan pajak,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
