Penduduk Kampung Sungai Baru fail 55 bantahan di mahkamah

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 55 bantahan telah difailkan oleh penduduk Kampung Sungai Baru di mahkamah susulan tidak bersetuju dengan bayaran pampasan yang diberikan oleh syarikat pemaju.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, satu-satunya cara bagi menyelesaikan kemelut isu tersebut adalah dengan pemaju mempertimbangkan nilai pampasan yang setimpal diberikan kepada penduduk yang tidak bersetuju sebelum ini.
Menurutnya, nilai berkenaan harus mengikut kadar semasa penilaian tanah seluas 7.8 ekar tanah itu yang bakal diputuskan oleh pihak mahkamah kelak.
“Isu perbalahan sekarang ini ialah soal harga (pampasan), jadi kena lawan di mahkamah. Kalau mahkamah setuju tambah lagi 15 peratus, maka pihak pemaju kena beri 15 peratus.
“Itu sahaja, sebab projek pembangunan sudah tidak boleh dihentikan. Ia tidak boleh patah balik kerana semua hak milik penempatan penduduk yang telah berpindah itu telah pergi kepada pihak pemaju,”
Ujar Johari, ia juga mustahil untuk penduduk kembali semula tinggal di pangsapuri kawasan berkenaan memandangkan keadaan penempatan tersebut telah terjejas teruk.
“Bila saya buat siasatan mengenai isu ini. Macam mana saya hendak terbalikkan keadaan ini?
“Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 telah diwartakan. Jika mahu panggil semula penduduk untuk tinggal di Pangsapuri Sungai Baru, keadaan bangunan asal tersebut sudah tidak sama.
“Itu semua keputusan yang telah mengikut prosedur, cuma saya pertikaikan apa yang jadi ketika 2018 hingga pertengahan tahun 2022, di mana pemimpin-pemimpin yang berani tampil dan suarakan mengenai isu ini?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!