Khalid akan hebah tuntutan saman Rafidah secara umum

Khalid dan Rafidah
Khalid dan Rafidah
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad akan menghebahkan tuntutan saman terhadap pelakon dan pempengaruh terkenal, Rafidah Ibrahim secara umum melalui media.

Menurut Khalid, tindakan itu akan dilakukan sekiranya Rafidah mengelak daripada menerima surat tuntutan yang dihantar kepadanya.

Khalid berkata, tindakan saman itu selepas Rafidah baru-baru ini dikatakan membuat dakwaan tidak berasas bahawa beliau berhasrat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) dan tanah rizab Melayu di Kampung Baru serta Kampung Sungai Baru.

Katanya, surat tuntutan sudah dihantar kepada Rafidah di alamat di rumah flat, Kampung Sungai Baru pada 17 April lalu bagi menuntut permohonan maaf, menarik balik tuduhan dan membayar ganti rugi.

“Tetapi dimaklumkan Rafidah tidak menerima surat itu kerana mungkin dia sudah tidak tinggal lagi di alamat tersebut.

“Jadi, minggu depan, saya akan bagi surat itu kepada pihak media supaya boleh disiarkan, semua boleh tengok termasuk dirinya, jadi tak boleh dah gunakan alasan dia tak terima surat kerana dah tersiar dan dihebah seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Libat Urus dan Ramah Mesra KADA di Lundang di sini pada Ahad.

Khalid yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan berkata, tuntutan dibuat kerana tuduhan fitnah yang tidak berasas didakwa dilakukan Rafidah dalam sebuah video yang dimuat naik di TikTok.

Artikel Berkaitan:

Rakaman itu memaparkan Rafidah di kawasan Kampung Sungai Baru sambil menggunakan pembesar suara menggesa penduduk menentang projek pembangunan yang dicadangkan di kawasan tersebut.

Khalid menambah, saman itu turut melibatkan tuntutan bayaran ganti rugi sebanyak RM300,000.

“Jika Rafidah tidak memberi respons dalam tempoh yang ditetapkan, saya akan membawa kes ini ke mahkamah,” tegasnya.

Menurut Khalid, tanah di Kampung Baru bukanlah tanah rizab Melayu bahkan berstatus lebih tinggi iaitu tanah Mas yang berbeza dengan tanah rizab Melayu yang mengharuskan pemilik dan penghuni terdiri daripada bangsa Melayu sahaja.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang perkhidmatannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau tidak pernah terlibat dalam apa jua keputusan berkaitan tanah di Kampung Sungai Baru.

Khalid juga menjelaskan bahawa keputusan mengenai tanah tersebut dibuat melalui rundingan antara pemilik dan pemaju manakala beliau tidak ada kaitan dalam urusan tersebut.

“Tuduhan bahawa saya ingin menghapuskan tanah rizab Melayu adalah fitnah yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!