Saya kaya sebab jual syarikat, kata Ku Nan


Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika hadir ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika hadir ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau memperoleh kekayaannya dengan menjual syarikat-syarikat miliknya dan keluarga yang bernilai ratusan juta ringgit.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata, antara syarikat yang dijual sebelum menjadi sebahagian daripada Kabinet ialah Mutiara Telekom (Digi) dan Hyundai (kini dikenali Sime Darby).

Ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Datuk Tan Hock Chua, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, nilai Mutiara Telekom ketika itu ialah RM480 ​​juta sedangkan nilainya kini melonjak kepada RM5 bilion.

Katanya, beliau mengambil inisiatif itu kerana mahu menjadi menteri tanpa dibebani hutang atau 'bebas hutang'.

“Hanya tiga syarikat saya tak jual, yang lain saya jual kerana saya nak jadi menteri ‘bebas hutang’ dan tumpu pada tugas yang diberikan kepada saya,” katanya.

Tiga syarikat berkenaan ialah Tadmansori Holdings Sdn Bhd, Hyudai Franchise dan sebuah syarikat disenarai awam.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Hock Chua, Tengku Adnan berkata, UMNO tidak mencatatkan informasi mengenai derma politik yang diterima, atas alasan maklumat itu mungkin jatuh ke tangan yang salah.

Hock Chua: Semasa soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, Datuk Seri ditanya sama ada mempunyai rekod derma pada UMNO Wilayah Persekutuan dan anda berkata, tidak. Kenapa?

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan: Kami tidak pernah merekodkan derma politik.

Hock Chua: Adakah anda mempunyai alasan untuk itu?

Tengku Adnan: Tiada sebab, kami biasanya tidak mencatatkan derma politik kerana kami tidak mahu ia jatuh ke tangan lain. Itulah alasan mengapa kita tidak pernah mencatat derma politik.

Awal pagi ini, Tengku Adnan memberitahu pihak pendakwaan bahawa UMNO Wilayah Persekutuan tidak menyimpan sebarang rekod derma politik daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong yang dikatakan bernilai RM2 juta.

Pada 23 Januari 2019, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima suapan untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak permohonan Ku Nan isytihar harta secara tertutup

Aset Ku Nan lebih RM900 juta pada tahun 2001

Ku Nan emosi selepas asetnya didedah kepada umum

RM2 juta umpama duit poket sahaja, kata Ku Nan

SPRM mula siasatan terhadap aset Ku Nan

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1juta yang merupakan barangan berharga daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazla disambung 25 Mac ini.

Untuk rekod, Tengku Adnan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 29 September 2001 dan sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri pada 20 November 2002.