X

Kindly register in order to view this article
!

Aset Ku Nan lebih RM900 juta pada tahun 2001

Tengku Adnan (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuahnya hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, jumlah hartanya pada 2001 lalu mencecah lebih RM900 juta.

Ketika prosiding bela diri bagi kes rasuah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Tengku Adnan, 69, berkata, nilai hartanya pada tahun berkenaan adalah sebanyak RM 938,643,566.16 manakala pada 2006 (RM 711,325,822),2013 (RM 691,770,649) dan 2016 (RM782,748,061).

Tengku Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan berkata, nilai yang dinyatakan ketika pengisytiharan aset tertulis yang dihantar kepada tiga perdana menteri berbeza.

Menjawab soalan peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan, beliau berkata, nilai aset ini dimasukkan dalam pengisytiharan harta ketika itu hanya untuk pengetahuan Perdana Menteri.

Tan: Datuk Seri mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri pada 2001, 2006, 2013 dan 2016. Siapakah Perdana Menteri pada ketika itu.

Tengku Adnan: Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2001, Tun Abdullah Ahmad Badawi (2006) serta Datuk Seri Najib Razak bagi tahun 2013 dan 2016.

Tan: Mengenai RM2 juta dari Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, adakah nilai itu ada kaitan dengan tugas Datuk Seri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan?

Tengku Adnan: Tidak.

Tan: Jadi duit itu untuk apa?

Tengku Adnan: Sumbangan politik untuk BN yang mana ketika itu untuk dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, ketika sesi soal balas, Ahli Parlimen Putrajaya itu gagal mengawal perasaan serta meninggikan suara ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Julia: Merujuk kepada perenggan lapan pernyataan saksi anda, anda berkata, “... ramai yang cemburu dan mahu lihat kejatuhan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (syarikat Tengku Adnan), saya tidak peduli dengan kedudukan politik saya kerana apa yang saya lakukan secara politik adalah demi kepentingan negara dan rakyat saya." Saya cadangkan ini adalah pendapat peribadi anda. Setuju atau tidak?

Tengku Adnan: Tidak saya tidak setuju dengan cadangan itu. Apa yang cuba saya sampaikan Yang Arif...

Julia: Datuk Seri, ini adalah pemeriksaan balas, anda hanya boleh jawab sama ada setuju atau tidak bersetuju.

Tengku Adnan: Tidak saya tidak bersetuju! Anda lihat sekarang saya mempunyai masalah kerana selepas aset saya didedahkan hampir RM1 bilion, mereka akan mahu sensasikannya.

Pada 23 Januari 2019, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima suapan untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1juta yang merupakan barangan berharga daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazla disambung esok.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus