Mahkamah tolak permohonan Ku Nan isytihar harta secara tertutup

Tengku Adnan (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas dakwaannya menerima suapan berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016 lalu.
Tengku Adnan (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas dakwaannya menerima suapan berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016 lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan bagi kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya dokumen pengisytiharan harta dibuat secara tertutup.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu atas faktor orang awam berhak untuk mengetahui maklumat dalam dokumen pengisytiharan harta tertuduh.

Menurutnya, ia selari dengan Seksyen 15 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan prosiding mahkamah secara terbuka kepada orang awam dan mempunyai akses kepada prosiding itu.

“Saya sedar dengan hakikat bahawa tertuduh adalah seorang bekas menteri dan kes ini mendapat liputan meluas, maka perbicaraan bukan sahaja perlu dilakukan secara adil tetapi harus dilihat secara adil,” katanya.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan berkata, jika pengisytiharan harta dibuat secara umum, ia mungkin mengundang risiko kepada anak guam dan keluarganya.

Hock Chuan berkata, ini kerana ia bukan hanya menyentuh jumlah harta yang dimiliki Tengku Adnan malah membabitkan isteri, anak-anak, ibu bapa Tengku Adnan dan ahli keluarga lain.

“Sesuai dengan pengisytiharan harta yang sebelum ini dibuat hanya kepada pengetahuan Perdana Menteri, maka lebih baik sekiranya pendedahan maklumat itu dikekalkan secara sulit.

“Hanya hakim dan pihak pendakwaan diberi akses untuk maklumat berkenaan tanpa didedahkan kepada awam mahupun wartawan,” katanya mengenai dokumen pengisytiharan harta yang dibuat anak guamnya kepada Perdana Menteri pada tahun 2001, 2006, 2013, 2016 lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang menyatakan tiada mana-mana frasa dalam kod etika pengisytiharan harta, menyatakan ia adalah dokumen rahsia.

Menurutnya, tidak dinyatakan dengan jelas oleh pasukan pembelaan mengenai masalah yang akan timbul sekiranya jumlah harta yang dimiliki Tengku Adnan diketahui umum.

“Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menceburi arena politik.

“Jadi pengetahuan mengenai harta yang akan diisytiharkan itu, tidak akan memeranjatkan sesiapa,” katanya.

Pada 23 Januari 2019, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima suapan untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.