Malaysia sangkal dakwaan kenakan tarif 47 peratus kepada AS

SHAH ALAM - Kerajaan menyangkal dakwaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia telah mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas barangan import dari negara itu ke Malaysia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam masa sama tetap tegas dengan pendirian bahawa tarif balas yang dikenakan tidak selari dengan prinsip perdagangan bebas dan adil.
Menurutnya, ia sebagaimana yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang mana 164 negara termasuk AS merupakan ahli.
“Dalam menangani isu ini, Malaysia akan terus berunding dengan AS bagi mencari penyelesaian yang adil dan boleh diterima oleh kedua-dua pihak berhubung isu tarif balas yang dikenakan AS sebagai usaha mengekalkan hubungan yang positif dan progresif dengan semua rakan dagangnya.
"Dalam tempoh yang mencabar ini, kerajaan akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia demi kesejahteraan rakyat, perniagaan dan pengeksport negara. Kesan ekonomi daripada langkah tarif terkini oleh Amerika Syarikat masih dalam penilaian,” menurut MITI dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa walaupun unjuran awal dibuat berdasarkan pandangan yang berhati-hati, skop dan keterukan tarif yang dikenakan telah melebihi jangkaan paling konservatif.
Justeru, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2025 sebanyak 4.5 – 5.5 peratus sedang dikaji semula.
"Kesan sebenar dijangka ketara dan akan menjadi lebih jelas apabila lebih banyak maklumat diperoleh mengenai garis masa pelaksanaan, kadar tarif, liputan produk (termasuk pengecualian) dan hasil rundingan perdagangan.
“Kelajuan dan skala tindakan balas oleh ekonomi lain juga akan mempengaruhi keputusan akhir. Kita juga tidak menjangkakan kemelesetan atau kelembapan asas ekonomi.
“Sebaliknya, unjuran pertumbuhan ekonomi kekal positif, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pelaburan domestik yang kukuh, hasil pelancongan yang sihat serta pelaksanaan pelan induk negara yang berterusan,” katanya.
Jelas MITI, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April depan.
"Mesyuarat ini dijangka membincangkan implikasi lebih luas daripada langkah tarif oleh Amerika Syarikat terhadap aliran perdagangan dan pelaburan serantau.
“Kestabilan makroekonomi dan tindak balas terkoordinasi ASEAN bagi mempertahankan kepentingan ekonomi rantau ini dan komitmen jangka panjang terhadap sistem perdagangan terbuka, adil dan berasaskan peraturan.
"Seterusnya, para Pemimpin ASEAN akan bermesyuarat untuk membincangkan hala tuju ASEAN dan langkah-langkah bagi menangani serta mengurangkan gangguan yang mungkin berlaku terhadap perdagangan serantau, rangkaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan. Ini adalah untuk memastikan ASEAN terus kekal sebagai hab perdagangan dan pelaburan global yang stabil, kompetitif dan menarik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!