Seleweng RM2.3 bilion: SPRM siasat bekas menteri kanan, Tan Sri

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan bergelar Tan Sri untuk siasatan berkaitan penyelewengan dana negara yang bernilai lebih RM2.3 bilion.

Menurut sumber, siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan ini.

“Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” kata sumber pada Jumaat.

Tambah sumber, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut.

Katanya, dalam pada itu, siasatan itu juga meliputi pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti oleh SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.

Tambah sumber lagi, SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

"Siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001," jelasnya.