Ku Nan emosi selepas asetnya didedah kepada umum

Tengku Adnan (tengah) ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini pada prosiding bela diri beliau terhadap tuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lepas. Foto: Bernama
Tengku Adnan (tengah) ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini pada prosiding bela diri beliau terhadap tuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lepas. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk pengisytiharan asetnya didengar dalam prosiding secara tertutup tanpa kehadiran orang awam atau pihak media, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu gagal mengawal perasaan di bilik bicara.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dalam prosiding membela diri bagi tuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong, Ahli Parlimen Putrajaya itu meninggikan suaranya apabila ditanya sama ada ayat dalam pernyataan saksinya adalah pendapat peribadi.

"Apabila saya katakan saya tidak mahu mengisytiharkan diri saya, ia kerana di khalayak ramai, anda tahu mengapa. Sekarang saya menghadapi masalah. Selepas saya mendedahkan hampir satu bilion (aset), mereka akan mensensasikannya," katanya dengan suara yang tegang dan penuh emosi.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili bekas Setiausaha Agung UMNO itu kemudian mencelah dan meminta mahkamah berhenti rehat seketika untuk menenangkan Tengku Adnan.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan itu dalam keputusannya terhadap pengisytiharan aset memutuskan bahawa untuk perbicaraan itu dijalankan secara adil, ia mesti dilakukan secara telus dan orang awam mempunyai hak untuk mendengar apa yang didengar di mahkamah dan melihat apa yang dilihat di mahkamah.

"Dengan cara ini orang awam dapat menghargai apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan tidak tertanya-tanya dengan apa-apa keterangan yang disimpan rahsia," katanya sambil menambah bahawa Tengku Adnan gagal meyakinkan mahkamah bahawa ia adalah untuk kepentingan keadilan atau menunjukkan sebab yang cukup dalam permohonannya.

"Sebaliknya, tertuduh bimbang asetnya dan keluarganya dimaklumkan secara terbuka. Beliau, antara lain, takut keselamatan keluarganya sekiranya butiran kekayaannya diketahui umum.

"Saya berpendapat bahawa untuk berbuat demikian sebenarnya akan bertentangan dengan kepentingan keadilan. Saya sedar hakikat bahawa tertuduh adalah bekas menteri persekutuan dan kes ini telah mendapat liputan meluas. Perbicaraan ini bukan sahaja perlu dilakukan secara adil tetapi mesti dilihat secara adil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pemeriksaan utama oleh Hock Chuan dan Tengku Adnan, 69, berkata, beliau telah mengisytiharkan asetnya kepada tiga perdana menteri semasa beliau berkhidmat sejak menyertai Kabinet pada 2001, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya lanjut oleh Tan mengenai jumlah asetnya yang telah diisytihar kepada Dr Mahathir pada tahun 2001, Tengku Adnan berkata: "Saya rasa ia melebihi RM900 juta".

Kepada soalan sama ada angka itu ialah RM938,643,566.16, bekas menteri itu menjawab: “Betul”. - Bernama