Bapa Zayn Rayyan kekal bebas

SHAH ALAM – Bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas satu kes mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tiga tahun lalu.
Hakim, Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka mahu membatalkan rayuan berkenaan.
Ia membabitkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai 2025, yang membebaskan Zaim, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Sementara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan berkata, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa, notis penarikan balik rayuan telah difailkan pagi ini.
“Mereka tidak mahu meneruskan rayuan tersebut maka mahkamah mengambil keputusan untuk membatalkan rayuan pihak pendakwaan.
“Ini sekali gus mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Ramzani Idris.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd Ali.
Pada Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh membebaskan bapa kepada dua anak itu, selepas mendapati pendakwaan gagal membangkitkan elemen pemeliharaan, pengabaian dan niat bersama.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan isterinya, Ismanira Abdul Manaf membela diri atas pertuduhan berkenaan di bawah seksyen terbabit.
Pada 31 Oktober, Syahliza mendapati Ismanira, 31, bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.
Beliau memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Ringkasan AI
- Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan mengabaikan anak autisme itu tiga tahun lalu
- Pihak pendakwaan membatalkan rayuan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Zaim Ikhwan
- Keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai 2025 mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie
- Isteri Zaim Ikhwan, Ismanira Abdul Manaf, dihukum penjara selama lima tahun atas pertuduhan pengabaian yang sama
- Zayn Rayyan ditemukan meninggal di anak sungai berdekatan tempat tinggalnya pada 6 Disember 2023, sehari selepas dilaporkan hilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


