Mayat wanita dikerat: Selisih faham, tuntut pemulangan wang pertunangan motif pembunuhan

Mayat wanita dibunuh ditemui di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar pada Khamis.
Mayat wanita dibunuh ditemui di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Perselisihan faham berkaitan hubungan peribadi serta tuntutan pemulangan wang pertunangan dipercayai menjadi punca seorang wanita dibunuh sebelum anggota badannya dikerat dan dibuang di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar pada Khamis.

Motif pembunuhan tersebut diakui sendiri oleh suspek utama, seorang lelaki berusia 71 tahun yang ditahan polis pada hari sama mayat mangsa ditemukan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya setakat ini telah berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes bunuh tersebut.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, pada jam 4.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu telah menjalankan operasi di kawasan Kampung Sri Kenangan, Sepanggar, di sini.

"Hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.

"Susulan itu, pada jam 8.10 malam hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama D7 dan D9 telah menahan seorang lelaki berumur 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) bagi membantu siasatan

"Seterusnya pada jam 10.30 malam, seorang lagi lelaki berusia 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Syed Lot berkata, turut dirampas dalam tangkapan tersebut ialah beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

"Hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan menyatakan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan.

Artikel Berkaitan:

"Hubungan suspek dan mangsa dipercayai sebagai tunang.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Tambah beliau lagi, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

 

Ringkasan AI

  • Perselisihan faham berkaitan hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan menjadi punca pembunuhan wanita yang anggota badannya dikerat
  • Suspek utama pembunuhan adalah seorang lelaki berusia 71 tahun
  • Dua lelaki tempatan telah ditahan oleh polis berkaitan kes bunuh tersebut
  • Operasi polis dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan termasuk saksi
  • Suspek dan mangsa dipercayai mempunyai hubungan tunang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!