RM2 juta umpama duit poket sahaja, kata Ku Nan

Tengku Adnan ketika hadir ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tengku Adnan ketika hadir ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap nilai RM2 juta yang didakwa sebagai rasuah pada tahun 2016 tidak terlalu besar, sebaliknya hanya sekadar ‘duit poket’.

Kenyataan ini dipercayai merujuk kepada pengesahan Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan semalam, berhubung jumlah asetnya pada tahun 2001 adalah sebanyak RM938.6 juta, manakala pada 2006 (RM711.3 juta), 2013 (RM691.7 juta) dan 2016 (RM782.7 juta).

Ketika sesi soal balas dengan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, Bendahari UMNO itu berkata bahawa dia tidak bersetuju dengan cadangan RM2 juta itu digunakan untuk tujuan peribadi.

Ini kerana katanya, wang itu merupakan sumbangan politik kepada UMNO Wilayah Persekutuan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Yang Arif, menyentuh derma politik, ada perkara yang boleh saya dedahkan dan ada juga perkara yang perlu dirahsiakan, itulah politik.

“Saya tidak minta wang daripada presiden saya atau UMNO Pusat sebab saya boleh cari dana sendiri.

"Kadang-kadang rakan politik derma untuk UMNO dan ada juga saya keluarkan dana sendiri untuk perkara yang sama,” katanya.

Pada 23 Januari 2019, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan menerima suapan berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan sama melibatkan jumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya.

Beliau juga turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1juta yang merupakan barangan berharga daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

ARTIKEL BERKAITAN Aset Ku Nan lebih RM900 juta pada tahun 2001

Ku Nan berang pendakwaan sengaja rosak reputasinya