Warga asing terus monopoli luar Pasar Borong Kuala Lumpur

Operasi siar kaki menyebabkan halangan di sebuah premis luar Pasar Borong Kuala Lumpur. - Gambar kecil: Kian Hock
Operasi siar kaki menyebabkan halangan di sebuah premis luar Pasar Borong Kuala Lumpur. - Gambar kecil: Kian Hock
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga warga asing menggunakan lesen orang tempatan dan mampu menyewa sehingga RM10, 000 sebulan bagi membolehkan mereka beroperasi di deretan premis di luar Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock berkata, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan penguatkuasaan sitaan barangan, namun ia gagal mematahkan usaha menghalau penjaja warga asing terdiri pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

Beliau menggesa, kekerapan operasi bersepadu membabitkan semua agensi terutama imigresen dan polis perlu dilakukan bagi mengelak masalah itu berlarutan dan tidak terkawal.

"Dalam PBKL bersih, semua peniaga patuh peraturan tetapi apabila keluar pintu PBKL dapat dilihat lambakan warga asing yang beroperasi sesuka hati hingga memenuhi siar kaki dan menyebabkan kacau ganggu lalu lintas serta kawasan menjadi kotor.

"Mereka pemegang kad UNCHR sepatutnya tidak boleh bekerja apatah lagi menjadi bos di sini namun masalah ini telah berlarutan dalam tempoh lama dan penguatkuasaan sedia ada tidak cukup untuk halau mereka keluar dari kawasan ini," katanya semasa mengadakan tinjauan bersama Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada Selasa.

Dakwanya, operasi peniaga warga asing itu dilindungi pihak tertentu apabila masih terus beroperasi walaupun lesen perniagaan mereka telah tamat tempoh sejak beberapa tahun lalu.

Keadaan luar Pasar Borong Kuala Lumpur yang dimonopoli warga asing.
Keadaan luar Pasar Borong Kuala Lumpur yang dimonopoli warga asing.

"Saya tidak tolak kemungkinan ada pihak yang jaga warga asing ini memandangkan mereka telah lama bertapak di sini dan sehingga kini masih gagal dihalau.

Artikel Berkaitan:

"DBKL tidak lagi luluskan pembaharuan lesen niaga kerana tidak mahu kawasan (luar) PBKL itu dipenuhi warga asing jadi mereka kini beroperasi secara haram.

"Saya ada bukti mereka guna lesen orang tempatan untuk beroperasi dan boleh bayar RM10,000 sebulan. Saya bimbang jika operasi bank-bank di sini berpindah, maka kawasan ini sepenuhnya akan menjadi perkampungan warga asing jika tindakan tegas tidak dilakukan," katanya.

Sementara itu, Prabakaran berkata, pihaknya akan memastikan operasi bersepadu membabitkan semua agensi akan dimulakan bulan depan.

"Jika lihat situasi di sini memang jelas menunjukkan pelanggan dalam kawasan PBKL semakin berkurangan selepas warga asing berniaga tanpa lesen di luar PBKL.

"DBKL boleh mengambil tindakan ke atas jualan tanpa lesen tetapi berkaitan warga asing perlu dibincangkan bersama imigresen serta MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk cari penyelesaian. Jika warga asing di dalam PBKL boleh diatasi, kenapa di luar tidak boleh," katanya.