[VIDEO] Pengasuh didakwa bunuh kanak-kanak perempuan

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita menangis teresak-esak ketika diiring keluar dari Mahkamah Majistret di sini selepas dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pada 17 Februari lalu.

Tertuduh, Nur Nabilah Seikh Ruslan, 32, sebelum itu mengaku memahami pertuduhan namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pengasuh terbabit didakwa menyebabkan kematian Siti Umairah Tiara Muhammad Naim di sebuah rumah di Lorong Bukit Rangin Damai, Perumahan Bukit Rangin di sini.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 17 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan serta tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Nur Nabilah (tengah) diiring anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret di sini selepas dihadapkan ke mahkamah itu atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pada 17 Februari lalu.
Nur Nabilah (tengah) diiring anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret di sini selepas dihadapkan ke mahkamah itu atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pada 17 Februari lalu.

Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) kes terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Abdul Wahab di hadapan Majistret Ellyna Othman.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan tertuduh bersama suami dan empat yang lain direman bagi membantu siasatan kes pengabaian mangsa yang dilaporkan meninggal dunia pada 20 Februari lalu.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu sebelum ini, pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan yang tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 malam pada 19 Februari lalu.

Menurutnya, pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki yang ketika itu ditempatkan di zon merah untuk pemeriksaan susulan.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia pada keesokannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!