Notis penganjur himpunan 'tak lengkap', polis belum terima yang baharu

Rusdi berucap pada perhimpunan bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Rusdi berucap pada perhimpunan bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima permohonan semula penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah daripada pihak penganjur yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak penganjur masih gagal mengemukakan permohonan semula notis tersebut selepas ia dikembalikan pihak polis ekoran terdapat maklumat tidak lengkap.

Beliau berkata, pihak penganjur juga perlu melengkapkan permohonan mengikut masa ditetapkan berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Selain itu, semakan polis mendapati mereka (pihak penganjur) tidak mendapat kelulusan daripada pemilik premis lokasi perhimpunan itu akan diadakan.

"Kita telah menyerahkan kembali notis permohonan kepada mereka tetapi ia masih belum dikembalikan," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Rusdi melakukan pemeriksaan barisan anggota PDRM pada perhimpunan bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Rusdi melakukan pemeriksaan barisan anggota PDRM pada perhimpunan bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Mengulas lanjut perhimpunan itu, Rusdi berkata, pihak polis akan bersiap siaga dan lebih 400 anggota serta pegawai akan ditugaskan pada Sabtu.

Menurutnya, meskipun perhimpunan itu tidak boleh dianjurkan kerana notis tidak lengkapkan, tetapi berdasarkan pengalaman lalu ia tetap akan dilangsungkan.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, pihak polis perlu memastikan ketenteraman awam dipertahankan sepanjang penganjuran tersebut.

Ditanya sama ada akan dilakukan penutupan jalan semasa penganjuran perhimpunan itu, kata beliau, PDRM tidak melaksanakannya.

"Kita menasihatkan semua pihak termasuk peserta dan penganjur perhimpunan untuk mematuhi semua peraturan ditetapkan.

"Meskipun hak untuk berhimpun adalah luas tetapi ia tidak eksklusif, maka semua pihak perlu mematuhi undang-undang negara," ujarnya.

Ditanya mengenai pihak tertentu yang mempersoalkan pemilikan Dataran Merdeka dan mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memilikinya, Rusdi berkata, semua orang boleh membuat sebarang spekulasi.

Namun begitu katanya, DBKL telah ditetapkan sebagai pemilik premis bagi kedua-dua lokasi iaitu di Dataran Merdeka dan Padang Merbok.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!