Pemuda Pas sokong Himpunan Rakyat Benci Rasuah Sabtu ini

SHAH ALAM - Pemuda Pas menyokong penuh penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu ini di Kuala Lumpur.
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pihaknya akan turut serta memandangkan ia manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
Menurut beliau, kebebasan berhimpun secara aman antara 'tiang seri' demokrasi dan komponen utama proses semak imbang terhadap kerajaan yang memerintah.
Justeru jelasnya, sudah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi serta ketelusan terus diperjuangkan.
"Himpunan pada Sabtu ini adalah cerminan sifat responsif dan konstruktif semua pihak demi Malaysia yang lebih cemerlang.
"Hal ini selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bahawa kerajaan sentiasa terbuka dengan sebarang kritikan atau cadangan untuk kebaikan negara.
"Ia bukan sekadar hak demokratik, tetapi juga salah satu mekanisme untuk menyuarakan kegelisahan rakyat terhadap isu rasuah yang semakin berleluasa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, polis dilaporkan telah menerima Notis Pemberitahuan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang bermula dari pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga Dataran Merdeka.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman memaklumkan, semakan mendapati Notis Pemberitahuan perhimpunan tersebut tidak lengkap kerana tiada salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan dilampirkan.
Katanya, respons terhadap Notis Pemberitahuan perhimpunan tersebut telah diberikan kepada penganjur supaya memenuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 pada Jumaat lalu.
Sulizmie Affendy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang atau tindakan tegas bakal diambil.
Sementara itu, Khairul Nadzir berpandangan, kerajaan perlu bersikap matang dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun tanpa sebarang gangguan atau sekatan yang tidak munasabah.
"Pemuda Pas juga meminta seluruh rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah sebagai tanda solidariti menolak rasuah dan menuntut pentadbiran yang telus," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!