Notis Pemberitahuan Himpunan Rakyat Benci Rasuah tidak lengkap - Polis

KUALA LUMPUR - Polis telah menerima Notis Pemberitahuan berkenaan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang bermula dari sebuah pusat beli-belah, Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebelum berarak ke Dataran Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati Notis Pemberitahuan perhimpunan tersebut adalah tidak lengkap.
"Ia tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
"Respons terhadap Notis Pemberitahuan perhimpunan tersebut telah diberikan kepada pihak penganjur supaya memenuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, pada Jumaat lalu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sulizmie Affendy berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang.
"Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!