Himpunan Rakyat Benci Rasuah diharap beri kesedaran kepada golongan muda

Umar Akhtar
Umar Akhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan di ibu negara pada 25 Januari depan diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama menentang rasuah.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Umar Akhtar Ab Malek berkata, himpunan itu bukan sahaja mampu memberi semangat kepada peserta, tetapi juga menjadi platform penting untuk memupuk rasa benci terhadap rasuah dari peringkat remaja.

“Rasuah bukan sahaja berlaku dalam kalangan dewasa, malah budaya ini juga semakin merebak di usia muda.

“Contohnya, terdapat budaya memberi suapan kepada pegawai penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meluluskan ujian lesen memandu kereta.

“Oleh itu, penting untuk kita menangani isu ini sejak awal bagi memastikan generasi muda tidak terjebak dalam amalan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah akan berhimpun di hadapan Sogo jam 2.30 petang sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Sekretariat itu yang mewakili 50 organisasi dan 38 individu akan menuntut tindakan segera terhadap kes rasuah melibatkan ahli politik, siasatan yang telus dan komitmen daripada semua pemimpin politik termasuk pembangkang untuk menamatkan gejala rasuah di Malaysia.

Sehubungan itu, Umar Akhtar mengalu-alukan semua pelajar dan golongan remaja untuk menyertai himpunan itu.

Beliau berharap golongan belia terus berperanan aktif dalam membanteras rasuah dengan menyemai nilai integriti sejak dari usia muda.

Artikel Berkaitan:

“Kursus seperti integriti dan rasuah di UPM dapat membantu mendidik pelajar mengenai kesan buruk rasuah dan membentuk generasi yang lebih berintegriti.

“Saya juga berharap kesedaran mengenai rasuah dari peringkat pengajian tinggi dapat melahirkan individu yang bukan sahaja beretika dalam kehidupan seharian, malah mampu memberi impak positif memerangi rasuah di semua peringkat,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menangkap 2,337 golongan belia yang berumur 16 hingga 40 tahun atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 2020 hingga 2024.

Berdasarkan statistik, kesalahan rasuah yang melibatkan golongan belia termasuk menerima dan memberi rasuah, terlibat dalam tuntutan palsu serta isu-isu penyelewengan lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, statistik tersebut menunjukkan aktiviti rasuah dalam kalangan belia semakin parah dan perkara itu perlu dibendung segera agar tidak menjadi penyakit dalam komuniti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!