Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Pihak berkuasa harus beri kerjasama - Wei Kiat

Wei Kiat (kiri), Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah akan diadakan di ibu negara pada esok.
Wei Kiat (kiri), Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah akan diadakan di ibu negara pada esok.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa disaran memberi kerjasama penuh kepada mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan perhimpunan anti rasuah berlangsung dengan aman serta teratur.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, himpunan itu diadakan atas dasar perjuangan menentang rasuah, satu isu yang menjadi keutamaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak seharusnya melihat ia sebagai ancaman sebaliknya perlu memberi sokongan moral kepada agenda reformasi yang sedang dijalankan.

"Matlamat himpunan ini selari dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang bersih.

"Oleh itu, semua pihak harus menunjukkan sokongan terbuka kepada mahasiswa yang berani menyuarakan pendirian mereka menentang rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah akan diadakan di ibu negara pada esok (25 Januari) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama menentang rasuah.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Umar Akhtar Ab Malek berkata, himpunan itu bukan sahaja mampu memberi semangat kepada peserta, tetapi juga menjadi platform penting untuk memupuk rasa benci terhadap rasuah dari peringkat remaja.

Tambah Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang itu, keberanian mahasiswa untuk bersuara secara lantang dalam isu-isu nasional harus diraikan, bukan disekat kerana ia sebahagian daripada semangat reformasi yang kita perjuangkan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama, pihak berkuasa bukan sahaja perlu memberi ruang, tetapi turut bekerjasama secara aktif dengan mahasiswa dan NGO untuk memastikan himpunan ini dapat dijayakan dengan tertib, aman dan berkesan.

"Ini adalah peluang untuk membuktikan kesungguhan dalam melawan rasuah dengan tindakan konkrit yang selari dengan aspirasi rakyat," ujarnya.

Menurut beliau, ruang dialog berserta kerjasama dengan mahasiswa dan NGO perlu digalakkan serta diperluas agar mesej antirasuah dapat diperjuangkan secara lebih berkesan serta inklusif.

Katanya, reformasi bukan sekadar slogan tetapi perlu diterjemahkan dalam tindakan nyata termasuk memastikan suara rakyat yang menentang rasuah tidak dilenyapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!