Notis terhadap anak Tun Daim bukan hukuman tetapi pastikan hadir bantu siasatan - SPRM

SHAH ALAM - Notis kesan individu yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, bukan satu bentuk hukuman atau senarai dikehendaki.
SPRM dalam kenyataan berkata bahawa notis tersebut juga bukan bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak.
Sebaliknya, kata SPRM, ia merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran individu untuk membantu siasatan.
"Tindakan ini diambil setelah pelbagai ruang dan tempoh munasabah diberikan, termasuk lanjutan masa sebelum ini.
"SPRM menegaskan bahawa semua individu tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dan dilayan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, sehubungan itu, SPRM menyeru keempat-empat individu berkenaan supaya hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan segera bagi membantu siasatan dan mengelakkan sebarang tindakan lanjut menurut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tegasnya, SPRM kekal komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan berintegriti demi kepentingan negara.
Menurut kenyataan itu, siasatan menerusi Op Godfather dijalankan di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
"Siasatan bermula susulan pendedahan Pandora Papers pada 2021 yang mendedahkan kewujudan syarikat serta aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim, ahli keluarga dan sekutu perniagaan, sekali gus menjadi asas pembukaan kertas siasatan pada 2023.
“Sepanjang tempoh Jun hingga November 2023, SPRM telah menyerahkan beberapa notis pengisytiharan harta kepada Allahyarham Tun Daim, isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, serta anak-anak mereka dengan lima kali lanjutan masa diberikan bagi tujuan pematuhan.
“Bagaimanapun, hasil semakan mendapati masih terdapat kegagalan dan ketidakpatuhan dalam pengisytiharan beberapa aset seperti yang dikehendaki,” ujarnya.
Menurut SPRM lagi, susulan itu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari 2024, manakala Tun Daim turut didakwa atas kesalahan sama pada 29 Januari 2024.
"Perkembangan baharu siasatan antara 2025 hingga 2026 menyaksikan enam laporan baharu dibuka selepas menerima maklumat tambahan daripada agensi penguatkuasaan luar negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
"Siasatan mendapati beberapa individu gagal mematuhi sepenuhnya notis pengisytiharan aset termasuk melibatkan aset bernilai tinggi serta akaun bank.
“Enam kertas siasatan telah dibuka terhadap Na’imah Abdul Khalid, Josephine Premla Sivaretnam serta empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009,” katanya.
Jelasnya, notis menghadiri pemeriksaan telah dikeluarkan pada 13 Februari lalu, namun sehingga 26 Februari, tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya.
“Berdasarkan maklumat terkini, tiga individu dipercayai berada di luar negara manakala seorang lagi berada dalam negara,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Notis keluaran SPRM kepada empat anak Tun Daim bukan bentuk hukuman
- Notis bertujuan untuk membantu siasatan
- SPRM memberi peluang munasabah sebelum mengambil tindakan
- Semua individu tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang
- Siasatan berkait dengan pendedahan Pandora Papers dan kegagalan dalam pengisytiharan aset
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
