Beri anak muda ruang berhimpun perangi rasuah - Adam Adli

Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberikan ruang kepada anak muda untuk berhimpun dalam usaha memerangi rasuah sepertimana dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim berkata, golongan muda sedang membentuk fikrah dan tekad dalam melawan kebobrokan serta barah rasuah, malah ia perkara yang patut dipandang tinggi.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, sikap kritikal sedemikian yang dizahirkan anak-anak muda wajar dihargai.

“Kita tidak perlu khuatir dengan suara dan ekspresi anak-anak mahasiswa hari ini. Jangan hanya kerana mereka tidak memuji, dianggapnya mereka memusuhi kita.

“Perdana Menteri sendiri sentiasa menekankan kemahuan untuk melihat anak-anak muda yang berkobar-kobar dalam menegakkan keadilan dan melawan rasuah.

“Jadi, wajar berikan ruang buat mereka untuk menyempurnakan peranan masing-masing di zaman ini,” katanya menerusi hantaran di X pada Rabu.

Beliau berkata demikian merujuk penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan berlangsung pada Sabtu ini dari pusat beli belah di Jalan Tun Abdul Razak hingga ke Dataran Merdeka.

Terbaharu, Pemuda Pas memaklumkan pihaknya akan turut serta dalam himpunan terbabit memandangkan ia manifestasi hak rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Artikel Berkaitan:

Adam Adli berpandangan pihaknya yakin Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempunyai sebab untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bercanggah dengan undang-undang di bawah seliaan beliau sendiri.

“Bagaimanapun kerajaan dan pihak berautoriti pasti ada budi bicara tersendiri.

“Semoga aksi yang direncanakan berjalan aman, lancar dan terkawal, sesuai hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!