Henti guna undang-undang takutkan rakyat berhimpun - Bersih, Suaram

Bersih dan Suaram mendakwa, tindakan pihak berkuasa yang cuba menghalang himpunan aman, membelakangkan undang-undang yang memberikan kuasa dan hak untuk rakyat menggunakan saluran tersebut. - Gambar hiasan
Bersih dan Suaram mendakwa, tindakan pihak berkuasa yang cuba menghalang himpunan aman, membelakangkan undang-undang yang memberikan kuasa dan hak untuk rakyat menggunakan saluran tersebut. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa disaran memastikan Himpunan Rakyat Benci Rasuah anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah berlangsung dengan aman dan tertib daripada berterusan menggunakan undang-undang untuk menakutkan rakyat berhimpun.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, tindakan pihak berkuasa yang cuba menghalang himpunan aman berkenaan dijalankan, didakwa membelakangkan undang-undang yang memberikan kuasa dan hak untuk rakyat menggunakan saluran tersebut.

Menurut dua badan bukan kerajaan berkenaan, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara serta hak berhimpun dan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

"Taktik menggunakan peruntukan-peruntukan kecil seperti tidak cukup pemakluman adalah taktik lapuk yang digunakan untuk mendekam suara rakyat daripada terus dilaungkan. Apatah lagi isu rasuah ini adalah isu besar yang masih membarah dalam negara.

"Tidak waras bagi pihak berkuasa yang cuba untuk menghalang himpunan aman ini dijalankan. Apakah sebenarnya yang ditakuti oleh penguasa?,"soal mereka dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan sudah menerima notis pemberitahuan bagi penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadual pada Sabtu ini, bermula di Kompleks SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka.

Bagaimanapun katanya, notis berkenaan tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen persetujuan daripada pemilik atau penghuni lokasi perhimpunan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Disebabkan syarat berkenaan masih belum dipenuhi, Sulizmie Affendy menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu yang menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Bersih dan Suaram menjelaskan, himpunan berkenaan adalah manifestasi suara rakyat yang tidak lagi ingin isu-isu rasuah membelenggu negara, apatah lagi melibatkan mana-mana pemimpin-pemimpin politik.

"Kami juga ingin menyarankan para menteri yang berada di tampuk kuasa agar bersama nyatakan solidariti bersama himpunan ini.

"Rakyat berhak berhimpun secara aman walaupun kalian tidak suka. Apatah lagi isu ini adalah isu yang kalian perjuangkan selama ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!