Exco nafi Terengganu tak selamat dikunjungi

Razali selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada Selasa. (Foto kecil, laporan Sinar Harian mengenai kesihatan mangsa)
Razali selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada Selasa. (Foto kecil, laporan Sinar Harian mengenai kesihatan mangsa)
A
A
A

KEMAMAN - Exco kerajaan negeri menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa Terengganu tidak lagi selamat dikunjungi oleh pelancong susulan kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman pada Jumaat lalu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, fitnah sedemikian dikhuatiri boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke Terengganu pada tahun 2025.

Beliau mendakwa fitnah tersebut berpunca daripada beberapa halaman media sosial yang cuba menjatuhkan imej rakyat dan kerajaan Terengganu.

"Terdapat komen-komen yang mendakwa Negeri Terengganu tidak lagi selamat untuk dikunjungi, yang secara langsung berkait dengan sektor pelancongan.

"Jadi saya mengambil tindakan membuat laporan polis pada hari ini. Berdasarkan pemerhatian saya, fitnah itu berpunca daripada beberapa halaman media sosial yang menjadi penyebaran fitnah berkenaan.

"Situasi ini semakin membimbangkan terutama apabila komen-komen tersebut menggesa orang ramai supaya tidak melawat Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Razali berkata, kehadiran pelancong ke Terengganu melebihi 7 juta pada tahun lalu namun dikhuatiri fitnah sedemikian boleh menjejaskan kedatangan pelancong pada tahun ini.

"Jika jumlah pelancong menurun, pendapatan rakyat negeri Terengganu juga akan terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Fitnah ini telah tular bukan sahaja di Malaysia tetapi juga mendapat ulasan dari Singapura dan Indonesia. Isu itu telah menjadi berita besar berkaitan insiden memukul OKU di Kemaman," ujarnya.

Justeru, Razali meminta masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita palsu atau fitnah yang tidak berasas.

"Kita boleh berpolitik... kita boleh membuat keterangan atau kenyataan tetapi elakkan fitnah.

"Saya yakin negeri Terengganu masih sebuah negeri yang cantik, mempunyai budaya menarik, dan rakyatnya baik-baik belaka," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!