'Tangan melecur terkena percikan minyak, kuali panas perkara biasa'

Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu, Fauzi Mansor (berdiri) berbual bersama tiga pasangan OKU penglihatan ketika ditemui pemberita.
Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu, Fauzi Mansor (berdiri) berbual bersama tiga pasangan OKU penglihatan ketika ditemui pemberita.
A
A
A

KUALA NERUS - "Dah biasa melecur terkena percikan minyak atau tersentuh kuali panas, tapi kami ada teknik sendiri untuk mengelak.

​Demikian kongsi Mohd Nasir Abdullah, 55, seorang daripada tiga orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang berkongsi cabaran ketika menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur.

Ketiga-tiga pasangan tersebut membuktikan bahawa kekurangan diri bukan alasan untuk tidak menikmati kemanisan beribadah dan menguruskan rumah tangga sendiri sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

​Bagi Mohd Nasir dan pasangannya, Fatimah Mamat, 65, Ramadan kali ini membawa dimensi berbeza memandangkan ia merupakan tahun pertama mereka melayari ibadah puasa sebagai pasangan suami isteri selepas bernikah bulan lalu.

Beliau yang berasal dari Kampung Durian Burung berkata, walaupun penglihatan terbatas, tugasan menyediakan hidangan berbuka tetap digalas dengan penuh tanggungjawab.

​"Walaupun tidak nampak, kami masih ada deria pendengaran dan bau. Ia banyak membantu kami mengagak keadaan masakan dan mengurangkan kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

​Senada dengan Mohd Nasir, isterinya, Fatimah menyifatkan penglihatan bukan penghalang besar untuk mereka beraksi di dapur seperti individu normal yang lain.

​"Kami lebih peka dengan persekitaran. Kami boleh agak di mana kedudukan dapur, periuk dan kuali. Tapi, malang tetap tidak berbau kalau tak berhati-hati," ujarnya yang pernah mengalami kecederaan kecil akibat terkena minyak panas.

​Sementara itu, bagi Mas Ibrahim, 66, yang mendirikan rumah tangga bersama Mohd Hafizey Mat Nasir, 37, pada September lalu mengakui dia mempunyai teknik tersendiri ketika menggoreng.

Artikel Berkaitan:

​"Sebelum api dihidupkan, saya akan letak minyak dulu. Kalau tak cukup, baru saya tambah lagi. Tapi, semuanya kena buat dengan berhati-hati,"katanya.

​Mas turut berkongsi rutin hariannya yang hanya memasak sekali sahaja iaitu sebelum berbuka, manakala hidangan tersebut akan dipanaskan semula untuk waktu sahur bagi memudahkan urusan.

​Bagi pasangan ketiga, Mohammad Azrul Hisham Mat Saat, 33, cabaran utama mereka adalah dari segi pengurusan masa.

​Jelasnya, keterbatasan fizikal menuntut mereka untuk memulakan persiapan memasak lebih awal berbanding orang lain.

​"Kalau individu normal mungkin boleh masak 30 minit sebelum berbuka, tapi kami tidak boleh begitu. Kami selalunya mula memasak selepas solat Asar lagi.

​"Lumrah bagi OKU seperti kami akan mengalami kesukaran, namun kami cuba atasi dengan cara tersendiri," kata Mohammad Azrul yang mula hilang penglihatan sejak sembilan tahun lalu.

 

 

Ringkasan AI

  • Mohd Nasir Abdullah dan dua pasangan OKU penglihatan lain berkongsi cabaran mereka dalam menyediakan juadah berbuka dan sahur
  • Kekurangan diri bukan halangan bagi mereka untuk mengurus rumah tangga dan menikmati bulan Ramadan
  • Pasangan Mohd Nasir dan Fatimah mengalami Ramadan pertama sebagai pasangan suami isteri dengan tanggungjawab penuh dalam menyediakan makanan
  • Mereka menggunakan deria pendengaran dan bau untuk mengagak keadaan masakan dan mengurangkan risiko kecederaan
  • Teknik khusus dan pengurusan masa menjadi strategi utama bagi OKU penglihatan ini dalam menghadapi cabaran memasak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!