Insiden pukul OKU: Salah atau tidak, anda tiada hak beri hukuman

KES seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul beramai-ramai pada Jumaat lalu merupakan satu insiden memalukan dan menunjukkan kekurangan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Peristiwa itu membuktikan betapa pentingnya untuk kita mengutamakan rasa hormat dan kasih sayang terhadap sesama insan terutamanya golongan OKU.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, mangsa dikatakan melanggar menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Akibat daripada kejadian tersebut, beberapa individu yang dipercayai pemilik atau peniaga di lokasi berkenaan bertindak di luar kawalan apabila melakukan keganasan terhadap mangsa.
Kedengaran mangsa memohon maaf berulang kali dan meminta bantuan air untuk bersihkan muka yang 'disimbah' dengan mee goreng, namun tiada seorang pun di situ membantunya.
Orang di sekeliling hanya kaku dan memerhati kejadian tersebut sehinggalah mangsa merangkak untuk mendapatkan sumber air dan secara tiba-tiba ditendang pada bahagian muka hingga tergolek ke belakang.
Sungguh, perbuatan itu sudah melampaui batas untuk setiap makhluk bernyawa, lebih-lebih lagi manusia yang bergelar sebagai seorang bapa.
Dalam pada itu, kejadian ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pemimpin politik yang turut menawarkan khidmat guaman percuma untuk menuntut keadilan dan memberi hukuman setimpal kepada individu terlibat.
Sehingga kini, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, pihaknya menahan empat individu dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan termasuk telah memanggil tiga saksi awam untuk diambil keterangan.
Pada masa sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan pihaknya akan memastikan kesemua individu terlibat dalam kes tersebut dikenakan hukuman berat.
Ujar beliau, pihaknya akan melantik peguam daripada parti berkenaan untuk membela nasib mangsa dan mencari bukti kukuh supaya diberikan hukuman yang setimpal.
Menurutnya, akta yang dibawa dalam kes berkenaan juga terlalu ringan dan pihaknya akan memastikan individu terlibat bakal dituduh dalam akta lebih berat.
Benar, tuntutan keadilan buat mangsa perlu dilakukan secara serius kerana kes seperti ini boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat di luar sana untuk berfikir dahulu sebelum bertindak.
Kesan daripada kejadian tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga ahli keluarga yang berkemungkinan mengakibatkan tekanan mental dan ketakutan berterusan dalam kehidupan harian.
Sebagai OKU, mangsa sudah pun menghadapi cabaran dalam kehidupan sosialnya dan kejadian seperti ini mungkin akan menambah rasa rendah diri, rasa tidak selamat atau ketidakpercayaan terhadap masyarakat sekeliling.
Secara keseluruhan, tidak kira pihak mana yang benar atau salah, kita sebagai manusia biasa tiada hak untuk menjatuhkan hukuman dengan bertindak kejam terhadap mana-mana individu.
Sebaliknya, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menentukannya, berhati-hatilah ketika melakukan sesuatu, jangan sampai anda menyesal di kemudian hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

