Bas ekspres ditahan hampir sejam, guna tayar botak

KUALA TERENGGANU - Sebuah bas ekspres dua tingkat yang membawa enam penumpang ditahan hampir satu jam di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini selepas dikesan menggunakan tayar botak.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zamri Samion berkata, bas yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kajang itu dikesan semasa pemeriksaan teknikal dilakukan oleh anggota bertugas terhadap kenderaan yang ingin memulakan perjalanan.
Menurutnya, pemeriksaan berkenaan adalah sebahagian daripada Ops Tahun Baharu Cina (TBC) yang dilaksanakan bermula 13 hingga 22 Februari lalu dengan memberi tumpuan terhadap kenderaan pengangkutan awam.
"Bas berkenaan ditahan bagi memastikan pihak syarikat mengganti tayar tersebut terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan demi menjamin keselamatan penumpang," katanya ketika ditemui pemberita dalam Operasi Khas sempena TBC di sini pada Ahad.

Secara keseluruhan, beliau menyifatkan tahap pematuhan dalam kalangan penumpang dan pengendali kenderaan awam adalah sangat baik hasil daripada usaha advokasi dan forum keselamatan yang dijalankan secara konsisten sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, statistik kemalangan maut menunjukkan peningkatan apabila jumlah kematian setakat ini meningkat kepada hampir 10 kes berbanding enam kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
"Berdasarkan kiraan awal yang belum dimuktamadkan, kebanyakan kemalangan maut ini berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan persendirian.
"Selain itu, kita juga dapati penunggang motosikal terutamanya di laluan-laluan kampung tidak mematuhi arahan yang ditetapkan," jelasnya.
Mengulas mengenai penguatkuasaan kenderaan perdagangan sepanjang operasi tersebut, Zamri memaklumkan sebanyak 18,480 kenderaan telah diperiksa setakat 20 Februari lalu, dengan 1,304 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
"Pada sesi pertama sekatan jalan raya, kita menahan tiga buah lori yang membawa bungkusan, kelapa sawit dan kayu kerana melanggar arahan larangan pemanduan kenderaan perdagangan pada 14 Februari lalu.
"Bagi sesi kedua pula, hanya sebuah lori membawa muatan zink atap ditahan semalam di kawasan Air Sejuk, Setiu atas kesalahan sama," katanya.
Beliau berkata, penurunan jumlah tangkapan ini menunjukkan pemakluman awal mengenai waktu larangan mula dipatuhi oleh pemandu lori.
"Penguatkuasaan akan terus diperketatkan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan ini," ujarnya.
Ringkasan AI
- Bas ekspres dua tingkat yang membawa enam penumpang ditahan di Terminal Bas MBKT kerana menggunakan tayar botak
- Pemeriksaan teknikal adalah sebahagian daripada Ops Tahun Baharu Cina yang bertujuan menumpukan kepada kenderaan pengangkutan awam
- Bas ditahan untuk memastikan tayar diganti sebelum meneruskan perjalanan demi keselamatan penumpang
- Secara keseluruhan, tahap pematuhan penumpang dan pengendali kenderaan awam sangat baik
- Sejumlah 18,480 kenderaan diperiksa dengan 1,304 kesalahan diambil tindakan semasa operasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
