[VIDEO] Insiden pukul OKU: Paijang stabil, dirawat di pusat psikiatri HSNZ
KUALA TERENGGANU - Lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang cedera dibelasah di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di klinik pakar psikiatri Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih mesra digelar Paijang kelihatan ceria sebaik menerima kunjungan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim pada Isnin.
Menurut Maliaman, lelaki yang menghidap bipolar disorder itu dimasukkan ke pusat rawatan tersebut pada malam Jumaat lalu selepas dirawat di Hospital Kemaman.

"Ketika ini Paijang dalam keadaan stabil dan ceria sebaik menerima kunjungan kami dan dia nampak gembira apabila bertemu rakan sekolahnya yang turut sama menziarah.
"Namun, sepanjang pertemuan tadi kami sebolehnya cuba mengelak daripada menyentuh mengenai cerita-cerita yang membuatkan dia sedih kerana kesan kecederaan akibat dipukul masih berbekas pada badannya," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Psikiatri HSNZ di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Maliaman turut meluahkan kekesalan terhadap segelintir pihak yang membuat tuduhan melulu sehingga melabel Terengganu tidak selamat.
Katanya, keluarga mangsa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan mangsa berada dalam kawalan sekali gus mengelak berlakunya kejadian serupa.

"Apa yang berlaku berpunca daripada segelintir masyarakat yang tidak mampu mengawal emosi dalam keadaan marah, namun tidak boleh menyamakan semua masyarakat Terengganu sebegitu.
"Apa yang berlaku ini dalam tindakan kerajaan negeri dan kita akan mengadakan mesyuarat khas berhubung kes itu.
"Mengenai kejadian menimpa Paijang, biarlah pihak berkuasa yang menjalankan siasatan dan beri ruang kes ini mendapat keadilan sewajarnya," ujarnya.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan berhubung insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
