Kemeriahan iftar berlatar belakang jambatan angkat

KUALA TERENGGANU – Keindahan panorama jambatan angkat terus menjadikannya sebagai tumpuan utama warga tempatan dan pelancong berbuka puasa dalam suasana santai dan tenang.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai mula membanjiri dataran dan kawasan lapang seawal jam 5.30 petang bagi mendapatkan lokasi terbaik menikmati juadah berbuka sambil menyaksikan keindahan muara sungai.
Bagi mualaf, Adam Tan Ping Hong, 26, pengalaman iftar memberi ketenangan luar biasa kepadanya.
Anak jati Pulau Pinang yang bekerja di Losong mengakui walaupun pertama kali menjalani ibadah puasa dan sedikit penat, namun suasana di jambatan angkat mengubat segalanya.
"Ini kali pertama saya berpuasa selepas dua tahun memeluk Islam. Memang rasa penat sedikit tetapi apabila sampai di sini terasa lega kerana dapat berkumpul bersama keluarga dalam suasana cukup cantik.
"Suasananya tenang, tidak terlalu sesak atau berserabut. Memang sesuai untuk sesiapa yang mahukan ketenangan," katanya.

Bagi Muhammad Alif Fikri Aman, 21, jambatan angkat mempunyai tarikan tersendiri berbanding lokasi popular lain seperti Kampung Cina, Kuala Ibai mahupun Pantai Batu Buruk atau Pantai Miami.
"Kelebihan kawasan ini kerana kedudukannya dekat dengan bazar Ramadan.
"Selepas membeli makanan, boleh terus duduk sambil menunggu azan Maghrib, memang cukup istimewa," ujarnya.

Nada sama turut dikongsi Nor Ainn Natasya Nor Azlan, 38, dari Kuala Ibai yang membawa ahli keluarganya merasai berbuka puasa di kawasan ikonik tersebut.
"Tahun lepas pernah datang, tetapi tahun ini saya rasa makin meriah dengan banyak pilihan makanan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Keindahan panorama jambatan angkat menjadikan tempat ini tumpuan utama warga tempatan dan pelancong untuk berbuka puasa
- Orang ramai mula membanjiri dataran dan kawasan lapang untuk mendapatkan lokasi terbaik menikmati juadah berbuka
- Adam Tan Ping Hong, mualaf, merasai ketenangan luar biasa berbuka puasa di jambatan angkat bagi kali pertama selepas memeluk Islam
- Muhammad Alif Fikri Aman menilai jambatan angkat mempunyai tarikan tersendiri kerana kedekatannya dengan bazar Ramadan
- Nor Ainn Natasya Nor Azlan merasakan suasana berbuka di jambatan angkat semakin meriah dengan banyak pilihan makanan berbanding tahun sebelumnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
