'Saya lelaki berbaju hijau itu' - Exco

KUALA TERENGGANU - Exco kerajaan negeri menafikan dakwaan gambar tular di media sosial yang cuba mengaitkan Pas dengan kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman pada Jumaat lalu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menjelaskan gambar yang tular itu merupakan dirinya memakai baju hijau dan bukannya suspek terlibat dalam insiden memukul lelaki OKU tersebut.
Beliau juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu berkata, fitnah tersebut telah dimainkan oleh individu-individu dipercayai sebagai 'askar upahan maya' yang mempunyai agenda politik tertentu.
"Merujuk kepada satu gambar yang tular sejak semalam di media sosial yang cuba mengaitkan Pas dengan satu insiden kekerasan terhadap OKU.
”Gambar tersebut menunjukkan dua individu masing-masing berpakaian berbaju hijau dan berbaju merah. Kenyataan tidak bertanggungjawab itu secara jelas cuba mengaitkan insiden kekerasan terhadap OKU dengan Pas.
"Sedangkan, saya ialah lelaki berbaju hijau dalam gambar itu manakala lelaki berbaju merah didakwa terlibat dalam kekerasan tersebut merupakan individu lain," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Razali turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang cuba menjadikan isu tersebut sebagai bahan politik murahan.
Jelasnya, tindakan itu bukan hanya merosakkan imej dan reputasi individu terlibat namun ia juga menambah beban kepada mereka yang terkesan akibat insiden berkenaan.
“Saya tidak faham kenapa ada segelintir manusia yang menjadikan isu ini sebagai isu politik sehingga sanggup mempergunakan kesengsaraan pihak lain demi kepentingan peribadi atau politik mereka.
“Ini adalah satu tindakan yang sangat tidak beretika dan tidak bermoral. Kita harus ingat bahawa setiap tindakan kita memberi kesan kepada masyarakat,” jelasnya.
Justeru, Razali menyeru supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita palsu atau fitnah yang tidak berasas.
Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu berkenaan dengan cara sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!