Rezeki 'tidak derhaka' resipi Khairul Aming

KUALA NERUS – Seorang suri rumah kini mampu menjana pendapatan lumayan sepanjang Ramadan hanya dengan mempertaruhkan resipi tular milik pempengaruh terkenal, Khairul Aming.
Hazwani Hamdan, 36, berkata, idea untuk mengkomersialkan sajian dihasilkan usahawan yang dikenali sebagai KA itu tercetus selepas melihat sambutan luar biasa terhadap perkongsian beliau di media sosial.
Menurutnya, segalanya bermula apabila dia mencuba resipi ayam sos plum yang dipopularkan oleh personaliti yang terkenal dengan ‘tagline’ ‘hey, what’s up guys!‘ itu untuk hidangan keluarga.
"Pada awalnya memang buat suka-suka sahaja. Saya cuba resipi ayam sos plum yang dikongsi KA sebab nampak mudah dan menyelerakan.
"Tak sangka pula apabila saya kongsi di aplikasi WhatsApp, ramai yang bertanya sama ada saya menerima tempahan atau tidak," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ujarnya lagi, tanpa perancangan rapi atau promosi besar-besaran, dia mula menerima tempahan daripada rakan-rakan serta kenalan terdekat.
Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat, Hazwani mengambil keputusan untuk menjual sekurang-kurangnya dua sajian setiap hari berdasarkan resipi pempengaruh berkenaan.
"Setiap hari saya akan pilih dua sajian berbeza bagi memberi pilihan kepada pelanggan setia. Mereka pun seronok sebab boleh rasa sajian berlainan sepanjang Ramadan dan jumlah tempahan memang di luar jangkaan," katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini turut meluahkan rasa terkejut apabila video masakan yang dimuat naik di media sosialnya mencecah satu juta tontonan.

Jelasnya, video tersebut asalnya dirakam sekadar untuk perkongsian bersama rakan, namun impaknya sangat besar sehingga tular di luar kelompok kenalannya.
"Saya bersyukur sebab hasil jualan daripada resipi KA ini sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan keluarga. Bolehlah buat simpanan untuk persiapan raya, beli baju anak-anak dan kelengkapan lain yang perlu," tambahnya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Hazwani berhasrat meneruskan jualan tersebut sehingga penghujung Ramadan dan tidak menolak kemungkinan untuk mengembangkannya secara serius sekiranya permintaan terus konsisten.
Ringkasan AI
- Suri rumah menjana pendapatan dengan menjual resipi tular Khairul Aming
- Idea bermula dari percubaan resipi ayam sos plum yang popular di media sosial
- Hasil tidak dirancang mendapat sambutan hebat melalui aplikasi WhatsApp
- Menjual dua variasi menu setiap hari selama Ramadan berdasarkan resipi tersebut
- Video masakannya tular mencecah satu juta tontonan di media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
