Suspek kes pukul OKU di pasar tani direman tiga hari

KEMAMAN - Seorang suspek dipercayai terlibat dalam kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di sini pada Jumaat lalu direman selama tiga hari bermula Isnin.
Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 40 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di sini, kira-kira jam 11.30 malam tadi.
"Setakat ini lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut manakala tiga saksi awam turut dipanggil untuk diambil keterangan," katanya di sini pada Isnin.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tani tersebut.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan itu lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh dan bertaburan di atas jalan.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Sementara itu, mangsa kes pukul, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih mesra dengan gelaran Paijang kelihatan ceria sebaik menerima kunjungan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim di klinik pakar psikiatri Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) pada Isnin.
Menurut Maliaman, lelaki yang menghidap bipolar disorder itu dimasukkan ke pusat rawatan tersebut pada malam Jumaat lalu selepas dirawat di Hospital Kemaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
