Hormati proses perundangan, jangan buat spekulasi - Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menghormati sepenuhnya proses undang-undang dan pendakwaan melibatkan salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, integriti dan kedaulatan undang-undang perlu diutamakan dan semua pihak diminta agar tidak membuat sebarang penilaian awal.
Menurutnya, prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah harus dipegang oleh semua pihak bagi mengelak gangguan terhadap proses keadilan.
"Saya mengambil maklum isu seorang ahli MMKN yang kini berada di peringkat pendakwaan dan perbicaraan. Kerajaan negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
"Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan jawatan ahli MMKN berkenaan, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa individu terbabit tidak diwajibkan untuk meletakkan jawatan buat masa ini.
Katanya, peranan individu tersebut sebagai Exco Kerajaan Negeri tidak akan mengganggu atau menjejaskan perjalanan proses pendakwaan serta perbicaraan di mahkamah.
"Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional.
"Semoga kita semua terus dipandu dalam melaksanakan amanah ini," ujarnya lagi.
Terdahulu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anaknya, Mohd Najmi Hanafiah pada 15 Ogos 2018.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anaknya, Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Terengganu menghormati proses undang-undang dan pendakwaan melibatkan salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menekankan integriti dan kedaulatan undang-undang serta prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah
- Individu terbabit dalam pendakwaan, Datuk Hanafiah Mat, tidak diwajibkan meletak jawatan dan peranannya sebagai Exco tidak mengganggu proses keadilan
- Datuk Hanafiah Mat didakwa menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen
- Pertuduhan terhadap Hanafiah Mat dibawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda berat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
