'Harga belian padi turun, pesawah mula jual tanah sebab kos operasi tinggi'

KUALA LUMPUR - Kawalan harga sawah rendah dengan kos tanaman padi meningkat dikhuatiri memberi tekanan kepada pesawah hingga boleh menyebabkan kemungkinan gulung tikar.
Pengerusi Gabungan Nasional (GN), Aminuddin Yahaya berkata, terdapat antara pesawah mula menjual tanah mereka selepas tidak tahan dengan peningkatan kos operasi.
Menurutnya, statistik turut menunjukkan angka pesawah dulu mencecah 300,000 orang kini berkurang kepada 200,000.
"Majoriti yang terlibat dengan aktiviti ini telah berusia manakala golongan berumur 40 tahun ke bawah hanya tinggal sepuluh ke 20 peratus sahaja.
"Sekiranya situasi ini berterusan dan tidak dikawal, dikhuatiri akan memberi kesan kepada keselamatan makanan.
"Jika dulu, kita pernah mempunyai stok baik menjamin makanan kita, tetapi jika perkara ini tidak diatasi, dibimbangi negara akan hadapi isu keselamatan makanan meruncing," katanya pada sidang akhbar cadangan penurunan harga padi di sebuah hotel di ibu kota pada Selasa.
Pada sidang akhbar itu, GN meluahkan kebimbangan nasib pesawah mengenai cadangan penurunan harga belian padi kepada RM1,300 satu tan metrik seperti dilaporkan di media sosial.
Aminuddin berkata, GN mencadangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menaikkan kembali harga belian padi kepada harga semasa iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800.
"GN turut meminta kerajaan menguatkuasakan agensi seperti Bahagian Pembangunan Industri Padi dan Lembaga Pertanian Peladang untuk memantau agar tidak berlaku elemen penindasan kepada pesawah.
"Pada masa sama, kementerian perlu mendapatkan pandangan wakil pesawah agar setiap polisi dikenakan dapat mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya berharap kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar rintihan dihadapi pesawah berhubung penetapan harga belian padi kepada RM1,300 satu tan metrik.
Ujarnya, harga itu tidak relevan dengan kos operasi ditanggung pesawah dan memerlukan harga lantai untuk seimbang kos tersebut.
"Selepas penyasaran subsidi diesel sejak 10 Jun lalu hingga ke hari ini, kami terpaksa tanggung kos aktiviti sawah disebabkan pelaksanaan 'fleet card' tak sampai kepada sasaran atau pengusaha jentera.
"Keadaan ini menyebabkan kami dalam keadaan tertekan dan memerlukan harga relevan untuk seimbangkan kos berkenaan bagi membolehkan kami meneruskan aktiviti pertanian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!