Selangor teliti selesai isu harga belian padi

SHAH ALAM - Kerajaan negeri sedang meneliti keperluan tambahan yang boleh dilakukan untuk membantu menyelesaikan masalah berhubung kemerosotan harga belian padi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini.
"Saya dah kemukakan hal ini dalam mesyuarat Exco yang lepas. Datuk Ir Izham Hashim (Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor) sedang meneliti apa keperluan tambahan yang kita boleh buat untuk membantu menyelesaikan isu ini.
"Sebab ini antara permintaan dan penawaran. Jadi, kerajaan boleh membantu terutama memberikan bantuan kepada yang memerlukan.
"Mungkin ada isu tentang kualiti padi, hasil dan sebagainya. Ini semua perlu ditangani secara komprehensif," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Isnin.
Sebelum ini dilaporkan, kira-kira 4,000 pesawah di Sungai Besar merungut berikutan harga belian padi turun mendadak kepada RM1,400 berbanding RM1,650 per tan pada musim lalu.
Ketua Blok C16 Parit 3 1/2 Banat, Hasbullah Samsuddin berkata, penurunan harga padi menjejaskan pendapatan pesawah pada musim menuai kali ini.
Menurutnya, meskipun kualiti pengeluaran padi meningkat dan kurang risiko kepada penyakit, namun penurunan harga belian padi membebankan pesawah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
