Kerajaan disaran wujudkan kuota belian padi pengilang besar

Kerajaan disaran mewujudkan kuota belian padi kepada pengilang khususnya pengilang besar bagi mengelak berlakunya monopoli. Gambar hiasan (Gambar kecil: Musonnef Md Radzi)
Kerajaan disaran mewujudkan kuota belian padi kepada pengilang khususnya pengilang besar bagi mengelak berlakunya monopoli. Gambar hiasan (Gambar kecil: Musonnef Md Radzi)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran mewujudkan kuota belian padi kepada pengilang khususnya pengilang besar bagi mengelak berlakunya monopoli.

Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md Radzi berkata, penetapan kuota padi itu akan membolehkan pengilang besar dan pengilang kecil bekerjasama memulihkan industri padi.

Menurutnya, ketiadaan kuota menyebabkan pengilang besar membeli padi dalam kuantiti banyak sehingga memanipulasi industri kerana mereka menguasai stok bekalan.

“Jika ada kawalan, tiada lagi kilang besar boleh menguasai industri kerana sekarang tanpa kawalan, mereka boleh beli padi semusim sehingga 50,000 tan metrik.

“Situasi itu menyebabkan mereka menguasai pasaran dan kitaran termasuk bekalan beras tempatan mahupun import,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Musonnef, situasi itu juga menghimpit kilang-kilang kecil Melayu yang terpaksa mengikut ‘rentak’ pengilang besar.

“Terdapat 15 kilang besar yang menguasai rantaian daripada pesawah, pengilang, pemborong hingga peruncit. Mereka juga kuasai keseluruhan rantaian sehingga bekalan beras import serta kilang padi benih.

“Kilang-kilang kecil Melayu hanya tinggal sembilan dengan empat daripadanya di Kedah. Ia dimiliki sepenuhnya Melayu dan tidak wujud sistem ali baba.

“Empat kilang itu hanya menguasai sekitar 50,000 tan metrik daripada keseluruhan 400,000 tan metrik,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ada ketika kenaikan harga dicetuskan oleh pengilang besar yang berkemampuan kerana tiada kuota dalam pembelian padi.

“Penetapan kuota ini sudah lama diutarakan kepada kerajaan sejak tahun 2005 selain kuota beras import kepada pengilang kecil. Ini kerana penguasaan beras tempatan oleh kilang terbabit hanya sekitar 10 peratus dalam pasaran,” ujarnya.

Katanya, sistem Lembaga Padi Negara (LPN) wajar dikembalikan bagi menangani situasi tersebut.

Ujarnya, perkara kedua yang perlu diperhalusi ialah harga lantai belian padi RM1,300 dan harga siling beras RM26 sekilogram (kg).

Katanya, kali terakhir harga beras dinaikkan pada tahun 2007 sedangkan harga belian padi mengalami lima kali kenaikan.

“Ini kerana pengilang tidak dapat mengimbangi kos pengeluaran yang meningkat. Tidak logik jika kos pengeluaran cecah RM32 bagi sekampit beras di pintu kilang tetapi perlu jual RM26 di pasaran,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!