'Dulu harga belian RM1,650 per tan, kini jatuh RM1,400'

SABAK BERNAM - Kira-kira 4,000 pesawah di Sungai Besar di sini, merungut berikutan harga belian padi turun mendadak kepada RM1,400 berbanding RM1,650 per tan pada musim lalu.
Ketua Blok C16 Parit 3 1/2 Banat, Hasbullah Samsuddin berkata, penurunan harga padi menjejaskan pendapatan pesawah pada musim menuai kali ini.
Menurutnya, meskipun kualiti pengeluaran padi meningkat dan kurang risiko kepada penyakit, namun penurunan harga belian padi membebankan pesawah.
"Saya difahamkan lima peratus kawasan tanaman padi di sini sudah dituai sejak awal Januari lalu, namun harganya jatuh lebih rendah.
"Bayangkan harga padi ketika ini jatuh menjunam sebanyak RM250 per tan metrik, sedangkan inilah sumber pendapatan kami untuk menampung kehidupan terutama membuat persiapan persekolahan anak-anak," katanya.
Terdahulu, kira-kira 50 pesawah mengadakan bantahan aman selama 15 minit di Parit 6 Timur di sini bagi menggesa kerajaan mengekalkan harga padi.
Menurut Hasbullah, penurunan harga padi itu memberi kesan kepada pesawah yang sentiasa berusaha meningkatkan pengeluaran hasil seterusnya menampung keperluan beras negara.
"Saya merayu kerajaan membantu nasib kami yang selama ini telah mengerah kudrat untuk bersama-sama membantu menghasilkan keperluan beras negara," ujarnya.
Seorang lagi pesawah, Marnun Mansor berkata, pesawah ketika ini terhimpit dan tertekan berikutan kos input pertanian dan pengurusan terus meningkat.
Katanya, kerajaan perlu mengambil kira beberapa faktor yang terpaksa ditanggung mereka seperti kenaikan kos pengeluaran padi merangkumi aktiviti membajak, menabur benih dan meracun.
"Pelbagai kos melambung tinggi antaranya kos benih padi yang naik daripada RM28 kepada RM55 per beg.
"Malah kos membajak dan menuai juga meningkat disebabkan penghapusan subsidi diesel hingga memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai lebih tinggi," jelasnya.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman berkata, situasi penurunan harga padi mengejutkan pesawah sehingga ramai mengeluh hingga ada yang berputus asa.
Ujar beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan pesawah meninggalkan penanaman itu dan beralih kepada pertanian lain yang lebih menguntungkan.
"Sebab itulah sekarang sudah ramai pesawah yang tanam sayur, pisang dan kelapa sawit.
"Saya beritahu mereka, demi kelangsungan hidup, buat saja (tanaman lain) daripada tanam padi yang tidak ada sebarang keuntungan.
"Sekiranya kerajaan mahu tanaman padi ini terus kekal diusahakan, maka berilah perhatian terhadap isu harga padi agar tidak membebankan pesawah," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!