Sudah tiba masa harga lantai belian padi RM1,800 setan

ALOR SETAR - Sudah tiba masa harga lantai belian padi dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM1,800 setiap tan berbanding RM1,300 pada ketika ini.
Koordinator Gerakan Membela Penindasan Petani (Gempita), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pada masa sama kerajaan hendaklah memastikan tiada kenaikan lain dari segi harga input atau manipulasi kos dalam proses pengeluaran padi.
Menurutnya, semua aspek berkaitan perlu dipantau oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) demi untuk kesejahteraan pesawah selain memastikan golongan terbabit meraih keuntungan dalam hasil padi.
“Apabila harga lantai belian padi naik, secara timbal balas menjadikan harga beras juga naik, akan ada kembali beras-beras tempatan dalam pasaran secara mutlak.
“Selepas berlaku kenaikan harga beras yang setimpal di pasaran, adalah menjadi tugas kerajaan dan Menteri KPKM untuk fikirkan formula terbaik untuk tangani permasalahan ini agar tidak bebankan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh ini, beberapa opsyen boleh dilakukan kerajaan seperti mengembalikan subsidi kepada rakyat secara bersasar berdasarkan data Pangkalan Data Utama (PADU) dalam agihan sumber tersebut.
“Ia kemungkinan dapat imbangi dalam mengawal pengurangan balik atas barang-barang tertentu atau beri insentif berkebajikan kepada rakyat. Itu tanggungjawab kerajaan bantu ringankan beban rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, sudah terlalu lama pesawah hidup bersusah payah membanting tulang demi ‘kedaulatan makanan’ negara namun segala kepayahan itu tidak dihargai.
“Memang benar jika belian padi terlalu tinggi akan beri kesan pada harga jualan beras, namun persoalannya berapa lama rakyat Malaysia ‘dipaksa’ beli beras import pada harga tinggi sebab beras tempatan hilang di pasaran?
“Jika disorot isu beras tempatan ‘hilang’, secara logik mana perginya beras tempatan itu jika tidak disalin kampit kepada beras import seperti heboh diperkatakan sebelum ini.
“Pesawah yang keluarkan beras di kawasan pun tak dapat beras tempatan, nak makan sendiri kena beli beras import, di mana logiknya,” jelasnya.
Mohd Ashraf berkata, pemantauan berterusan hendaklah dilakukan agar ketiadaan beras tempatan tidak berulang lagi.
“Pesawah jual hasil padi kepada pengilang tetapi mana hilangnya padi tersebut? Penguatkuasaan perlu dilakukan untuk pastikan tiada lagi ketirisan dan salah laku yang mengkhianati keperluan rakyat ini.
“Sampai bila kesusahan dan kerja keras pesawah membanting tulang empat kerat, akan terus dimanipulasi pihak yang berkuasa dan kaya-raya?,” soalnya.
Dalam pada itu, Mohd Ashraf menempelak kenyataan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung isu berkenaan yang disifatkan tidak serius menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan.
Sebelum ini, Mohamad memaklumkan, KPKM sedang mengkaji untuk menaikkan harga siling belian padi tempatan berbanding RM1,300 satu tan ketika ini.
Beliau berkata, tidak dinafikan ada beberapa pengilang padi membeli padi tempatan daripada pesawah sehingga RM1,800 satu tan.
Namun katanya, apabila membeli terlalu tinggi, bagaimana untuk menjual beras dengan harga agak murah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!