Harga belian RM1,800 per tan setimpal usaha pesawah

Laporan Sinar Harian berhubung harga belian padi yang didakwa tidak masuk akal. Gambar kecil: Muhammad Najib
Laporan Sinar Harian berhubung harga belian padi yang didakwa tidak masuk akal. Gambar kecil: Muhammad Najib
A
A
A

ALOR SETAR - Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Kedah mendesak kerajaan untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan.

Pengerusinya, Muhammad Najib Mohd Taib berkata, ia bertujuan untuk memastikan pesawah mendapat pulangan yang setimpal dengan usaha mereka dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau berkata, pihaknya berasa prihatin terhadap isu harga belian padi yang sangat rendah di negeri ini, iaitu sekitar RM1,300 per tan.

"Situasi ini telah memberi kesan besar kepada golongan pesawah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil padi sebagai sumber pendapatan utama mereka.

"Kami berpandangan bahawa harga lantai belian padi sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kos operasi dan sara hidup pesawah, lebih-lebih lagi dengan peningkatan harga barangan asas, input pertanian seperti baja, racun, dan kos buruh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hal tersebut mengakibatkan ramai pesawah terpaksa bergelut untuk terus bertahan dalam sektor pertanian berkenaan.

Sehubungan itu, Muhammad Najib berkata, pihaknya juga mendesak kerajaan memberikan subsidi tambahan kepada pesawah.

Beliau berpandangan, pemberian subsidi tambahan dapat meringankan beban kos operasi pesawah terutama kos input pertanian yang terus meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Antara lain, kerajaan turut digesa melaksanakan polisi sokongan jangka panjang dengan merangka pelan strategik untuk memastikan harga padi kekal kompetitif dan tidak membebankan pesawah," katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya bahawa sektor pertanian, khususnya penanaman padi, adalah tulang belakang kepada kestabilan bekalan makanan negara.

Katanya lagi, kesejahteraan golongan pesawah harus diberi perhatian yang serius demi memastikan kelangsungan sektor ini untuk masa depan negara.

"Kami menyeru pihak kerajaan agar segera mengambil tindakan proaktif terhadap isu ini demi menjamin kesejahteraan pesawah di Kedah khususnya, dan di Malaysia amnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!