Terengganu sedia teliti keputusan Mahkamah Persekutuan

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersedia meneliti semula keputusan Mahkamah Persekutuan melibatkan 18 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penelitian itu merangkumi semua aspek berdasarkan kepada keputusan mahkamah tersebut.

"Langkah tersebut diambil bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Terengganu tidak bercanggah dengan peringkat Persekutuan.

"Selain itu, kerajaan negeri turut akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pihak yang ingin mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut dianggap memberi impak negatif kepada sistem perundangan syariah di negara ini.

Menurutnya, ia bukan sahaja memberi kesan di Kelantan malah melibatkan seluruh negara termasuk Terengganu.

"Jika semua ini berterusan maka kita bimbang Mahkamah Syariah selepas ini tiada kuasa untuk menegakkan hukum Islam di negara ini," jelasnya.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!