Lebih 10 individu dikompaun tinggalkan sampah merata-rata lepas berbuka

KUALA TERENGGANU - Seramai 10 individu dikenakan tindakan kompaun serta-merta oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) gara-gara membuang sampah dan sisa makanan merata-rata selepas berbuka puasa.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan tegas itu diambil selepas kesemua individu terbabit dikesan meninggalkan sisa makanan di kawasan padang oleh pegawai penguat kuasa yang melakukan penyamaran.
Menurutnya, setiap individu dikenakan kompaun sebanyak RM20 bagi memastikan kebersihan di kawasan tumpuan awam terus terjaga sepanjang bulan Ramadan.
"Kita telah menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa secara penyamaran di lokasi tumpuan orang ramai berbuka puasa bagi memantau individu yang tidak bertanggungjawab ini.
"Sehingga kini, lebih 10 individu dikesan melonggokkan sampah di tepi dan atas padang, sekali gus dikenakan tindakan serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Selepek Sahur di tapak Payang Walk, Dataran Shah Bandar di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Datuk Bandar MBKT, Datuk Lizan Che Mat dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshidal Roslal.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menzahirkan rasa kesal terhadap sikap segelintir pihak yang membiarkan sampah melonggok sehingga mencetuskan bau busuk.
Tegasnya, MBKT sebenarnya telah menyediakan kemudahan tong sampah yang mencukupi di lokasi-lokasi tumpuan awam termasuk di Dataran Shah Bandar.
"MBKT sudah menyediakan tempat berbuka puasa berkeluarga dan pelbagai kemudahan lain. Justeru, masyarakat seharusnya mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek kebersihan.
"Orang ramai diminta mencontohi budaya masyarakat di negara maju yang sanggup menyimpan sampah di dalam kenderaan terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan," ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Seramai 10 individu dikenakan tindakan kompaun oleh MBKT kerana membuang sampah selepas berbuka puasa
- Tindakan itu diambil setelah pegawai penguat kuasa yang menyamar mengesan individu terbabit meninggalkan sisa makanan
- Setiap individu dikenakan kompaun RM20 untuk memastikan kebersihan kawasan tumpuan awam
- Pegawai penguat kuasa MBKT melakukan penyamaran untuk memantau individu yang membuang sampah merata-rata
- MBKT telah menyediakan kemudahan tong sampah yang mencukupi di lokasi tumpuan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
