Pusat karaoke di Terengganu hanya dibenar operasi sehingga 10 malam

Wan Sukairi (tengah) menyempurnakan perasmian Program Selepek Sahur di tapak Payang Walk, Dataran Shah Bandar, di Kuala Terengganu.
Wan Sukairi (tengah) menyempurnakan perasmian Program Selepek Sahur di tapak Payang Walk, Dataran Shah Bandar, di Kuala Terengganu.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri menetapkan semua pusat karaoke di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam sahaja, berkuat kuasa serta-merta.

​Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, arahan tersebut bukan hanya terpakai sepanjang bulan Ramadan, malah akan diteruskan pada bulan-bulan lain.

​Menurutnya, langkah itu diambil bagi menyelaraskan semula waktu operasi pusat hiburan keluarga di seluruh negeri yang sebelum ini dilihat agak mengelirukan.

​"Sebelum ini, ada pusat karaoke beroperasi sehingga jam 10 malam dan ada yang sehingga jam 1 pagi. Jadi, kita putuskan untuk tidak melanjutkan tempoh operasi sehingga jam 1 pagi seperti yang dituntut oleh pengusaha.

​"PBT telah diarah untuk membuat penyeragaman semula pengoperasian ini di mana waktu operasi bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam sahaja," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Selepek Sahur di tapak Payang Walk, Dataran Shah Bandar di sini.

​Turut hadir, Datuk Bandar MBKT, Datuk Lizan Che Mat dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshidal Roslal.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menjelaskan mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi arahan waktu operasi baharu ini boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 11 (2), Enakmen Hiburan di Tempat Hiburan 2002.

​"Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!