Perlu bersikap adil, rakyat Kelantan mahu syiar Islam ditegakkan

Laporan Sinar Harian. Hassan (kanan).
Laporan Sinar Harian. Hassan (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu bersikap adil bukan sahaja kepada kerajaan kepimpinan Pas di Kelantan tetapi keseluruhan majoriti rakyat yang mahukan syiar Islam ditegakkan di negeri mereka.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, oleh itu perkara yang melibatkan undang-undang Islam tidak boleh diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tetapi diserahkan kepada mahkamah keadilan rakyat.

Menurutnya, Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah manifestasi kehendak majoriti rakyat Kelantan yang telah memilih kerajaan Islam pimpinan Pas dalam lapan Pilihan Raya Umum secara berturut-turut.

"Kita akur dan menghormati keputusan Perlembagaan Persekutuan, saya yang bukan seorang anggota Pas tetapi ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat yang politiknya menyokong dasar pelbagai kaum dan agama di Malaysia supaya kita bersikap adil.

"Dalam hal ini perkataan 'conscience' yang disebut oleh Mahatma Gandi itu adalah relevan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan Kelantan.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hassan berkata, Kelantan adalah sebuah negeri berdaulat dan rakyatnya lebih 90 peratus orang Melayu beragama Islam.

"Lebih 33 tahun rakyat Kelantan memilih Pas sebagai sebuah parti Islam yang membawa agenda untuk memertabatkan undang-undang Syariah Islam di negeri tersebut.

"Mereka memilih Pas melalui peti undi pilihanraya, bukannya secara ugut dan paksa," ujarnya.

Tambahnya, satu perkara perlu difikirkan sama ada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang majoritinya Ahli DUN Pas sedar atau tidak bahawa rang undang-undang Enakmen yang diluluskan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

"Adakah rang undang-undang Enakmen tersebut yang dibentangkan oleh kerajaan Pas Kelantan tidak menyedari bahawa Enakmen itu boleh batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

"Saya percaya mereka sedar kerana kerajaan Kelantan bukanlah semberono dan membabi buta sengaja mahu membentangkan Enakmen tersebut di DUN Kelantan. Di belakang kerajaan terdapat penasihat undang-undang yang amat mahir dan faham hal Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.