[VIDEO] Kerajaan sekali lagi terima tempias keputusan petisyen Nik Elin

A
A
A

KERAJAAN Perpaduan sekali lagi menerima tempias berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 terhadap petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Sebaik sahaja mahkamah mendedahkan keputusan itu, ramai pihak termasuk ahli politik khususnya daripada blok pembangkang seperti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad tidak bersetuju dengan pembatalan berkenaan.

Sebelum ini, Pas menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai sejarah hitam.

Takiyuddin mendakwa, beliau berasa sedih di atas keputusan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai 'Black Friday'.

Menurutnya, sebagai peguam, apabila satu undang-undang jenayah syariah satu negeri dibatalkan bermakna undang-undang jenayah syariah Islam melibatkan 14 buah negeri lain berada dalam keadaan berbahaya dan kritikal

Secara keseluruhan, kesemua mereka menzahirkan rasa tidak senang dengan keputusan itu dan beranggapan bahawa undang-undang jenayah syariah Islam kini terancam.

Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat.
Nik Elin Zurina (kanan) bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha ketika keluar dari Istana Kehakiman pada Jumaat.

Segala perkongsian mengenai keputusan itu yang dimuat naik dalam laman sosial turut mendapat kecaman hebat daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata mereka mendakwa kedudukan Islam semakin terancam sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan mula memerintah.

Pun begitu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bertindak dengan lebih bijak dan memperbanyakkan pembacaan berkenaan kes-kes sensitif seperti keputusan petisyen Nik Elin.

Ini kerana, keputusan yang dibuat tidak dipengaruhi oleh kerajaan sebaliknya ia diputuskan oleh badan kehakiman.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kecaman yang tiada kesudahan sejak Lembaga Pengampunan mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal daripada tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Susulan itu, ramai mengecam keputusan berkenaan dan mendakwa bahawa kerajaan kini lebih mementingkan jawatan berbanding agenda reformasi yang diperjuangkan dahulu.

Bagaimanapun, sekali lagi penulis ingin mengingatkan orang ramai untuk semak fakta dan membuat carian informasi mengenai mana-mana kes.