Tahanan rancang awal lepaskan diri - Ruslin

Ruslin (tengah) menunjukkan keadaan jeriji besi yang dirempuh sekumpulan tahanan di Depot Imigresen Bidor, Perak pada malam Khamis bagi melepaskan diri.
Foto Sinar Harian - HISYAMUDDIN AYUB
Ruslin (tengah) menunjukkan keadaan jeriji besi yang dirempuh sekumpulan tahanan di Depot Imigresen Bidor, Perak pada malam Khamis bagi melepaskan diri. Foto Sinar Harian - HISYAMUDDIN AYUB
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak menolak kemungkinan satu perancangan awal yang rapi dilakukan kumpulan tahanan semasa merusuh di Depot Imigresen Bidor, Perak pada malam Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut memandangkan kumpulan tahanan ditempatkan dalam satu blok yang menempatkan antara 30 hingga 50 orang.

Beliau berkata, kumpulan tahanan yang bertindak merusuh dalam kejadian 9.50 malam itu membabitkan tiga daripada lapan blok yang ada di depot tersebut.

"Dipercayai kumpulan tahanan daripada tiga blok tersebut telah merancang awal untuk merusuh kerana tindakan nekad itu dilakukan secara serentak.

"Seramai 131 orang tahanan yang kebanyakannya etnik Rohingya telah merempuh pintu dan jeriji besi di pintu utama kawasan penempatan blok tahanan tersebut.

"Mereka ini sanggup mengalami luka di badan bagi melepaskan diri," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Ruslin (tengah) menunjukkan gambar jeriji besi yang dirempuh sekumpulan tahanan di Depot Imigresen Bidor, Perak pada sidang media, Jumaat. Foto Sinar Harian - HISYAMUDDIN AYUB
Ruslin (tengah) menunjukkan gambar jeriji besi yang dirempuh sekumpulan tahanan di Depot Imigresen Bidor, Perak pada sidang media, Jumaat. Foto Sinar Harian - HISYAMUDDIN AYUB

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, kumpulan perusuh menggunakan batu untuk menyerang anggota JIM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di depot tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, dua anggota Rela telah dipukul oleh kumpulan tahanan yang cuba melepaskan diri.

Menurut beliau, kumpulan perusuh dipercayai telah berpecah kepada tiga kumpulan semasa melarikan diri di sekitar Bidor termasuk ke ladang kelapa sawit.

Tegas beliau, usaha memburu kumpulan tahanan itu sedang giat dijalankan JIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rela.

Jelas beliau, pasukan JIM Putrajaya diperkuatkan dengan penglibatan JIM negeri iaitu dari Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang serta Negeri Sembilan.

Katanya, sehingga 4 petang hari ini, sebanyak empat tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan di sekitar Bidor.

Ditanya sama ada JIM akan mengemukakan cadangan penggunaan senjata api di depot tahanan kepada kerajaan, Ruslin berkata, pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu semua perkara ekoran kes ini.

Jelasnya, penggunaan senjata api antara perkara yang akan dikemukakan kepada pihak kerajaan.

Namun begitu katanya, perkara itu akan diusulkan selepas kes tersebut selesai dan kesemua perusuh yang melepaskan diri berjaya ditangkap.