Tahanan Rohingya lolos masih berada di sekitar depot - Polis

Situasi di sekitar pintu masuk Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor pada Jumaat. Foto Bernama
Situasi di sekitar pintu masuk Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Polis sedang menggiatkan usaha mengesan pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini dengan menumpukan pencarian dalam radius kawasan sekitar depot berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya percaya tahanan berusia antara 17 hingga 35 tahun itu masih berada di kawasan sekitar berikutan mereka lari dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa wang, keperluan diri dan makanan.

"Kami percaya dalam keadaan mereka itu dengan penglibatan pelbagai agensi, kami akan dapat menahan mereka semula dan perkembangan mengenai maklumat tangkapan akan diberikan," katanya ketika ditemui pemberita di luar depot itu pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi pencarian disertai Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Jabatan Imigresen dan bantuan dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman.

Situasi sekatan jalan raya di Jalan Pahang-Tapah pada Jumaat. Foto Bernama
Situasi sekatan jalan raya di Jalan Pahang-Tapah pada Jumaat. Foto Bernama

Menurutnya, pemeriksaan ketat turut dilaksanakan menerusi sekatan jalan yang didirikan di kawasan sekitar Tapah dan daerah berhampiran iaitu Kampar serta Muallim.

Mohd Yusri berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, kesemua tahanan berkenaan melakukan rusuhan dengan memecahkan pagar serta kawat duri di depot tahanan, lalu melarikan diri.

Katanya, punca rusuhan masih dalam siasatan dan laporan terperinci akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Imigresen.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga meminta orang ramai yang melihat individu atau kumpulan etnik Rohingya itu di kawasan sekitar depot termasuk dalam ladang kelapa sawit, lebuh raya berhampiran, hutan, kawasan perumahan mahupun tempat awam supaya menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bersekongkol atau bersimpati kepada pelarian ini kerana boleh didakwa kerana bersubahat," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri menafikan berita tular di media sosial yang mendakwa terdapat 13 orang etnik Rohingya meninggal dunia dalam kemalangan maut di KM335 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini selepas kejadian.

"Hanya seorang sahaja (tahanan yang lolos) meninggal dunia dalam kemalangan itu (di KM335 Lebuhraya Utara Selatan arah utara). Polis ingin menasihati orang ramai supaya berhenti menyebarkan perkara tidak benar dan maklumat palsu," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi dilaporkan berkata daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi warga Myanmar. - Bernama