Siasat penjaga tahanan, kes PATI lolos tidak patut berulang - Norman

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu menyiasat sekiranya terdapat salah laku daripada pegawai yang menjaga tahanan di Depoh Imigresen Bidor, Perak sehingga menyebabkan insiden tahanan melarikan diri kembali berulang.

Peguam dan Pengamat Isu Rohingya, Norman Fernandez berkata, kes terbaharu melibatkan 131 tahanan melarikan diri tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian pada 2022.

Menurutnya, kes berkenaan amat mengecewakan dan memalukan apabila pendatang asing tanpa izin (PATI) itu bukan sahaja bolos masuk Malaysia tetapi juga lolos ketika dalam tahanan.

"Penambahbaikan daripada kejadian sebelum ini sepatutnya telah dibuat untuk mengelak ia berlaku.

"Pihak imigresen perlu memaklumkan jika kecuaian atau kelalaian tanggungjawab telah berlaku dan bagaimana boleh terjadi sehingga sampai 115 orang boleh lolos.

"Tindakan sewajarnya termasuk buang kerja patut diambil terhadap semua yang bertanggungjawab dan lalai," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Norman berkata, sehingga akhir 2022, terdapat seramai 107,670 pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di negara ini.

"Ini baru yang terdaftar. Belum kira pelarian Rohingya yang tidak berdaftar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 April 2022, seramai 528 pelarian Rohingya di pusat tahanan Imigresen Relau, Bandar Baharu Kedah telah melarikan diri.

Dalam kejadian tersebut, polis berjaya menangkap kembali 362 orang, manakala enam pelarian Rohingya meninggal dunia akibat kemalangan ketika melarikan diri.

Terbaharu, seramai 115 lelaki etnik Rohingya dan 16 lelaki warga Myanmar disahkan polis melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Bidor, Perak malam tadi.

Difahamkan seorang PATI yang lolos maut dalam kemalangan di Kilometer 335, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!