Polis nafi 13 tahanan Rohingya maut di lebuh raya

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
A
A
A

TAPAH - Polis Perak menafikan berlakunya kemalangan maut melibatkan 13 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di Kilometer 335, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, insiden itu hanya melibatkan seorang lelaki berusia 30-an telah dikenal pasti salah seorang daripada 131 tahanan yang meloloskan diri dalam kejadian itu.

"PDRM menafikan kejadian tersebut seperti mana tular oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kes disiasat di bawah Sesyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Depot Imigresen Sementara Bidor di sini pada Jumaat.

Kenderaan penguat kuasa keluar dari Depot Imigresen Sementara Bidor di Tapah bagi meneruskan operasi mengesan 130 tahanan yang lolos pada Khamis.
Kenderaan penguat kuasa keluar dari Depot Imigresen Sementara Bidor di Tapah bagi meneruskan operasi mengesan 130 tahanan yang lolos pada Khamis.

Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar menghentikan serta merta sebarang hebahan yang tidak benar dan maklumat palsu.

"Pihak polis memohon kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat hendaklah disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-40112222," katanya.

Terdahulu, tular dalam kumpulan sembang aplikasi WhatsApp mendakwa 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) maut dilanggar manakala 118 lagi hilang di kawasan semak dan hutan berhampiran.

Dalam kumpulan itu, pesanan turut diberikan kepada geng-geng lori untuk berhati-hati apabila tahanan ini dikatakan melarikan diri ke arah lebuh raya.

Sinar Harian melaporkan pencarian 130 tahanan masih diteruskan melibatkan bantuan pegawai dan anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bukit Aman.